Sembilan mangsa bot karam diselamatkan

Sembilan mangsa bot karam diselamatkan

Semporna: Sembilan penumpang bot pengangkutan berdepan detik cemas apabila bot dinaiki karam dalam kejadian di hadapan Jeti Pelancongan Semporna, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, semua mangsa termasuk lima kanak-kanak yang dipercayai dalam perjalanan menuju ke Kampung Bangau-Bangau, di sini, berjaya diselamatkan.

Bot dinaiki mangsa karam di hadapan Jeti Pelancongan Semporna. Pix Ihsan Bomba

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Atas Air Semporna, Faisal Ahmad berkata, pasukan bomba menerima makluman daripada orang awam di lokasi berikutan kejadian berlaku kira-kira 30 meter dari BBP.

Katanya, sepasukan lima anggota dan pegawai bersama bot kevlar terus dikerah bergegas ke lokasi kejadian.

Pasukan bomba menyelamatkan mangsa selepas bot dinaiki karam di hadapan Jeti Pelancongan Semporna. Pix Ihsan Bomba

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba terus menjalankan operasi menyelamatkan semua mangsa dengan dibantu orang awam.

“Terdapat sembilan orang mangsa membabitkan dua lelaki, dua wanita dan lima kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, setakat ini, tiada maklumat mangsa diperolehi namun kejadian itu tidak membabitkan sebarang kecederaan atau kematian.

Katanya, pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.39 pagi tadi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|