Lelaki tempatan bawa masuk tujuh PATI ditahan

Lelaki tempatan bawa masuk tujuh PATI ditahan

Tawau: Seramai tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk lima kanak-kanak yang dipercayai baru tiba dari negara jiran Indonesia ditahan di Jalan Habib Shaikh Sabindo, di sini, malam tadi.

Semua PATI terbabit ditahan pasukan Unit Risikan Marin (URM) Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau dan pasukan OP Cegah Pati (OCP) Daratan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menerusi Op Gelora Khas/Op Cegah PATI Sektor Selatan, jam 8.35 malam.

Semua PATI yang baru tiba dari Indonesia ditahan di Jalan Habib Sheikh Sabindo, Tawau.

Ketua Staf Bahagian Operasi Darat (BOD) ESSCOM, Senior Asisten Komisioner M Chandra berkata, bertindak atas maklumat risikan berkaitan kemasukan PATI ke daerah ini, sepasukan pegawai dan anggota yang menjalankan tugas khas membuat pemantauan dan risikan di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4 Jalan Apas.

Katanya, ketika pemantauan, mengesan sebuah kereta jenis Proton Iswara sedang bergerak keluar dari Kampung Kurnia Jaya, dipercayai membawa beberapa PATI yang baru tiba dari Indonesia.

“Pegawai dan anggota serbuan kemudian mengekori hingga kereta itu parkir di bangunan kedai di Jalan Habib Sheikh Sabindo, lalu menahannya.

“Hasil pemeriksaan didapati seramai tujuh individu berusia lingkungan dua hingga 38 tahun di dalam kereta berkenaan dan semua mereka tidak mempunyai dokumen serta mengaku baru tiba dari Indonesia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut menahan pemandu kereta lelaki tempatan berusia 58 tahun untuk siasatan lanjut.

“Semua yang ditahan termasuk kenderaan dibawa ke Pangkalan PPM Tawau untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|