UMNO Putatan bidas kenyataan WARISAN berhubung beberapa isu di Putatan

UMNO Putatan bidas kenyataan WARISAN berhubung beberapa isu di Putatan

Putatan: UMNO Bahagian Putatan hari ini membidas kenyataan media yang dikeluarkan Biro Masyarakat Kadazandusun, Murut dan Rungus (KDMR) Parti Warisan (WARISAN) Putatan berhubung beberapa isu di daerah ini.

Ketuanya, Jeffrey Nor Mohammad berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Mathew Yong itu dilihat lebih berunsur mengejar populariti dan keinginan untuk meraih undi.

“Berkaitan perkara pertama dan kedua, saya ingin bertanya kepada Mathew Yong selama 26 bulan kerajaan disandang WARISAN dan Pakatan Harapan (PH), apa tindakan yang dilakukan untuk mencapai proses pemindahan urusan pentadbiran.

“Bagi perkara berkaitan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan balai polis, untuk membangunkan IPD, tanah seluas enam ekar adalah syarat untuk menubuhkan sebuah IPD.

“Bolehkah Mathew tunjukkan di mana tanah seluas enam ekar di kawasan Parlimen Putatan yang boleh digunakan untuk membina IPD itu,” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Jeffrey turut menjelaskan berhubung Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bahawa sudah ada permohonan sejak era pemerintahan Barisan Nasional (BN).

“Namun, kementerian juga mempunyai garis panduan dan prosedur yang harus dipenuhi. Persoalan saya, semasa WARISAN mentadbir, apakah tindakan yang sudah dibuat untuk percepatkan proses ini? Apatah lagi permohonan sudah dibuat oleh BN,” katanya.

Sementara itu, merujuk kepada isu berkaitan nama Sekolah Pendidikan Khas (SPK) Tuaran yang terletak di Kampung Tombovo, dapat ditukar kepada SPK Putatan, Jeffrey berkata, adakah isu menukar nama pun perlu dipolitikkan.

“Ia mudah dilakukan tetapi kena faham kontrak dan jaminan atas nama lama sebab itu adalah prosedur, InsyaAllah kita akan tukar nama itu selepas selesai semuanya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|