SESB beri faedah 2.5 peratus berjumlah RM8.7 juta kepada pengguna

SESB beri faedah 2.5 peratus berjumlah RM8.7 juta kepada pengguna

Kota Kinabalu: Sebanyak 609,869 pengguna Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di Sabah dan Labuan akan menerima faedah tahunan atau rebat 2.5 peratus daripada jumlah deposit elektrik bermula bulan ini.

Pemulangan faedah seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990, itu akan dikreditkan ke dalam bil elektrik pelanggan dengan nilai keseluruhan sebanyak RM8.7 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Datuk Ir Abdul Nasser Abdul Wahid, berkata pemulangan rebat itu akan dikreditkan terus ke dalam akaun bil elektrik pengguna pada bulan Januari dan Februari ini.

“Wang cagaran elektrik dikenakan sebagai sekuriti kepada kerosakan atau untuk menjelaskan hutang tertunggak apabila pengguna menamatkan kontrak bekalan selaras dengan Peraturan 5(5) Peraturan-Peraturan Bekalan Pemegang Lesen 1990.

“Ia dikira bersamaan dua bulan penggunaan bil elektrik berdasarkan purata bagi enam bulan terakhir dan akan disemak setiap enam bulan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan penambahan wang cagaran hanya akan dikenakan jika terdapat peningkatan penggunaan elektrik secara purata bagi enam bulan berbanding wang cagaran sedia ada.

Bagaimanapun, katanya jika purata penggunaan kurang daripada wang cagaran, ia boleh dipulangkan kepada pengguna atas permintaan pengguna melalui rebat dalam bil elektrik.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|