Op SAPU tahan 32 PATI di Putatan

Op SAPU tahan 32 PATI di Putatan

Kota Kinabalu: Seramai 32 individu disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Patuh Bersepadu (SAPU) yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) di dua lokasi, kelmarin.

Dalam operasi selama empat jam bermula jam 11 malam itu, lokasi serbuan dijalankan di kawasan rumah setinggan Tanjung Dumpil, Jalan Putatan dan kawasan setinggan, Pulau Meruntum, Putatan, di sini.

Pasukan operasi menyerbu kawasan setinggan dan menahan 32 PATI di dua lokasi di Putatan.

Pengarah JIM Sabah, SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, dalam operasi di kedua-dua lokasi, pasukan operasi menahan seramai 124 orang untuk pemeriksaan.

Bagaimanapun katanya, hasil pemeriksaan lanjut, hanya seramai 32 individu ditahan selepas didapati melanggar Akta Imigresen 1959/1963.

PATI yang ditahan melalui proses pemeriksaan kesihatan sebelum dihantar ke Depot Imigresen.

“Dalam operasi ini, kita menahan seramai 14 lelaki dewasa, 11 wanita dan 10 kanak-kanak berusia lingkungan tujuh bulan hingga 57 tahun.

“Semua ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pasport atau pas yang sah,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Sitti Saleha berkata, semua tahanan kemudiannya diarahkan melalui proses tapisan kesihatan ketat termasuk ujian saringan Covid-19.

Katanya, ia bagi memastikan tidak wujud sebarang penularan jangkitan Covid-19 sebelum dihantar ke Depot Imigresen selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sehubungan itu, Sitti Saleha merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada orang awam yang memberikan maklumat kepada JIM Sabah sehingga tertangkapnya sejumlah PATI yang tidak mematuhi undang-undang.

Katanya, beliau memohon kerjasama dari rakyat Sabah supaya melaporkan dengan segera sekiranya terdapat aktiviti PATI di kawasan mereka.

“JIM juga memberi amaran keras kepada pemilik-pemilik premis supaya tidak menyewakan atau membenarkan mana-mana golongan PATI untuk tinggal di premis mereka.

“Jabatan Imigresen tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang bersekongkol membawa atau menempatkan mana-mana PATI di kawasan penempatan mereka,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|