Penampang: Minat dan sering melihat bapanya berlatih tarian singa mendorong seorang kanak-kanak menyertai kumpulan tarian singa sejak berusia lima tahun lagi.
Stanley Chee yang kini berusia lapan tahun menyertai kumpulan tarian singa itu hasil daripada didikan bapanya yang juga peserta kumpulan berkenaan.
Menurut Stanley, dia seronok menyertai kumpulan itu kerana menerima upah sebaik selesai membuat persembahan.
“Pada 2019, saya pernah terima angpau sebanyak RM150 dan saya gunakannya untuk beli ‘speaker’ supaya saya boleh menyanyi.
“Sebab itu saya suka sertai persembahan nanti boleh dapat upah selain memang minat sejak kecil lagi,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Beliau ditemui selepas majlis perasmian set bendera baharu, 19 naga dan 46 singa untuk Persatuan Wei Wu Sabah yang disempurnakan oleh Pengarah Eksekutif Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC), Datuk Dexter Lau.
Sementara itu, menurut bapanya, Brian Chee, anak sulungnya itu langsung tidak berasa penat untuk berlatih tarian singa walaupun kini sudah bersekolah.
“Setiap petang selepas balik dari sekolah dia akan menyiapkan kerja sekolah terlebih dahulu dan berehat sebentar sebelum dia memulakan latihan sama ada bermain muzik atau menari tarian singa dan naga.
“Dia tidak juga penat ketika berlatih dan ketika membuat persembahan, dia berperanan memegang ‘bulan’ untuk bergerak di mana ‘naga’ akan mencari bulan berkenaan,” katanya.
Mengulas berhubung tarian singa, beliau berkata selepas dua tahun dilanda pandemik, baru tahun ini mereka dibenarkan untuk melakukan aktiviti menari tarian singa dan naga.
“Jadi hari ini, tujuannya adalah untuk bangunkan ‘naga’ yang sudah lama tidur dan lebih beri semangat kepada rakan pasukan lain berikutan sudah lama tidak membuat persembahan tarian ini,” katanya.
Katanya lagi, walaupun sudah dua tahun tidak dapat beroperasi namun mereka tidak berhasrat untuk menaikkan harga perkhidmatan tarian singa dan naga.
“Sekarang harga kami tawarkan dari RM388 hingga RM1,388 mengikut permintaan pelanggan apabila meminta kami membuat persembahan,” katanya.
-Deasoka