Penghuni rumah tidak berjarak dinasihat berwaspada elak kebakaran

Penghuni rumah tidak berjarak dinasihat berwaspada elak kebakaran

Tawau: Penduduk yang mendiami kawasan rumah yang tidak berjarak dan rapat dinasihatkan lebih berwaspada bagi mengelak daripada berlaku kebakaran dan menyebabkan kemusnahan yang besar kepada penghuni.

Pengerusi Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Perhubungan Sabah, Datuk Hamisa Samat berkata, tragedi kebakaran yang berlaku di beberapa tempat termasuk di daerah ini bukan saja menyebabkan penduduk hilang tempat tinggal tetapi turut mengorbankan nyawa mangsa.

Hamisa menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa kebakaran di empat kampung di Tawau.

“Jadi, saya ingin mengingatkan masyarakat yang mendiami perumahan yang berdekatan antara satu sama lain supaya sentiasa berhati-hati dan berwaspada dalam menggunakan peralatan elektrik ketika memasak dan sebagainya bagi mengelak kejadian kebakaran.

“Walaupun kebakaran antara malapetaka yang tidak dapat dielakkan namun sikap berwaspada akan dapat mengurangkan risiko selain mengelak kejadian berulang,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran yang terjejas di sini, semalam.

Katanya lagi, aspek keselamatan perlu diutamakan terutama keadaan musim padan juga menyebabkan kebakaran mudah merebak dengan pantas.

“Kejadian yang berlaku sebelum ini diharap menjadi iktibar kepada penduduk lain supaya sentiasa mematuhi segala aspek keselamatan di kawasan kediaman masing-masing,” katanya.

Sebelum itu, beliau menyampaikan sumbangan kepada 67 keluarga mangsa kebakaran yang terjejas bagi meringankan beban selain diharap dapat memberi semangat baharu kepada mangsa untuk bangkit semula.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|