Ada peningkatan perkongsian kuasa di antara Sabah, Sarawak, persekutuan – Yong Teck Lee

Ada peningkatan perkongsian kuasa di antara Sabah, Sarawak, persekutuan – Yong Teck Lee

Kota Kinabalu: Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee melihat terdapat peningkatan dalam perkongsian kuasa di antara Sabah, Sarawak dan kerajaan persekutuan ketika ini.

Beliau berkata, sudah lebih daripada satu generasi berlalu sejak SAPP ditubuhkan dan Malaysia melalui banyak perubahan politik, khususnya dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini, iaitu sejak kuasa monopoli politik dipecahkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) 2018.

“Norma baharu Malaysia ialah perkongsian kuasa di kalangan beberapa parti politik. Dalam kes SAPP, saya dapat melihat peningkatan perkongsian kuasa antara Sabah, Sarawak dan kerajaan persekutuan. Inilah jendela peluang besar yang telah diperkatakan oleh SAPP sejak 2008,” katanya dalam perutusan sempena Ulang Tahun ke-28 SAPP, hari ini.

Katanya, SAPP juga melihat ada kemajuan dalam pematuhan Perjanjian Malaysia (MA63) sejak 2010 apabila SAPP mula membawa isu MA63 ke arus perdana negara melalui Pilihan Raya Kecil (PRK).

“Antara perjuangan utama parti ini ialah Kad Pengenalan Sabah (Sabah IC) untuk menjadikan rakyat Malaysia yang sah di Sabah, kembalinya Labuan ke Sabah dan perkongsian adil sumber asli minyak dan gas kita, yang semuanya selaras dengan pematuhan MA63.

“Perjuangan kami untuk reformasi tanah, termasuk menghidupkan semula pemilikan tanah selama 999 tahun dan desentralisasi Sistem Residensi akan diteruskan di semua peringkat kerajaan. Tidak dilupakan pencarian kami untuk kebenaran bagi Tragedi Double 6, 1976,” katanya.

Sehubungan itu, Teck Lee menyeru kepada ahli SAPP supaya peka dan memahami tipu daya politik yang berlaku di sekeliling iaitu di Sabah dan di peringkat persekutuan.

“Hanya apabila kita mempunyai kepekaan terhadap situasi, maka kita boleh mengadakan penglibatan yang membina dengan parti politik lain yang berkongsi matlamat yang sama dengan SAPP.

“Saya merakamkan rasa hormat saya kepada ahli-ahli kita yang telah menjadi pejuang kental dalam pertempuran selama ini.

“Saya merakamkan penghargaan kepada ahli-ahli kita di atas kesetiaan dan dedikasi mereka kepada parti. Walaupun kita hanya mempunyai sedikit akses kepada kuasa politik pada masa ini, saya yakin ahli SAPP akan terus melakukan yang terbaik untuk berkhidmat kepada rakyat dan melonjakkan Sabah dan Malaysia ke tahap yang lebih tinggi dalam apa cara sekali pun,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|