DAP Sabah gesa dua ADUN keluar parti kosongkan kerusi

DAP Sabah gesa dua ADUN keluar parti kosongkan kerusi

Kota Kinabalu: Tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP yang keluar daripada parti itu semalam disifatkan sebagai pencabulan terhadap mandat yang diberikan kepada mereka pada pilihan raya lalu.

Sehubungan itu, Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung menggesa kedua-dua mereka iaitu Justin Wong (Sri Tanjong) dan Calvin Chong Ket Kiun (Elopura) supaya mengosongkan kerusi.

Katanya, ia adalah tindakan yang bermaruah untuk dilakukan jika merasakan tidak senang dengan kepemimpinan atau terus kekal dalam parti.

“Ia satu pencabulan terhadap mandat rakyat oleh mana-mana wakil rakyat dalam sesebuah parti apabila keluar daripada parti untuk menjadi wakil bebas atau menyertai parti politik lain.

“Sebaliknya, jika tidak gembira (dengan parti sekarang), mereka seharusnya meletak jawatan sebagai ADUN. Ia adalah tindakan bermaruah yang patut dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan bagi mengulas tindakan kedua-dua ADUN DAP terbabit, hari ini.

Menerusi satu kenyataan bersama semalam, Justin dan Calvin serta seorang bekas Senator DAP, Adrian Lasimbang menyalahkan kegagalan DAP Sabah melaksanakan perjuangan membela nasib rakyat negeri itu, selain kecewa terhadap kepemimpinan Frankie sebagai antara sebab keluar parti.

Frankie yang juga ADUN Tanjung Papat, berkata penjelasan kedua-dua ADUN dan bekas Senator terbabit hanya alasan semata-mata menjelang pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat di Parlimen pada Februari dan Mac depan.

“Kita baru saja dua bulan dalam penggal baharu Jawatankuasa Negeri DAP Sabah dan mereka kata sudah tidak gembira sedangkan penggal ini selama tiga tahun.

“Saya yakin ia bukan alasannya, mungkin mereka ada rancangan mereka sendiri dan mungkin cadangan Undang-Undang Anti Lompat mempercepatkan rancangan mereka,” katanya.

Katanya, beliau juga tidak tahu apa yang ketiga-tiga bekas pemimpin DAP Sabah itu tidak berpuas hati terhadap kepemimpinannya.

Beliau berkata, Justin yang pertama kali menjadi wakil rakyat selepas memenangi kerusi Sri Tanjong di Tawau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) September 2020 tidak dapat dihubungi dan tidak hadir pada mesyuarat jawatankuasa DAP Sabah selepas konvensyen parti pada November lalu.

“Tindakannya itu tidak wajar dan tidak bertanggungjawab selaku seorang wakil rakyat dan ahli jawatankuasa parti yang diberi kepercayaan berada dalam Jawatankuasa Negeri DAP Sabah,” katanya.

Frankie berkata, usaha untuk menemui Justin sama ada di Tawau atau di ibu negeri bagi membincangkan isu yang berlaku sejak akhir tahun lalu tidak berhasil atas alasan ada urusan keluarga.

Calvin pula katanya gagal berada dalam jawatankuasa parti disebabkan tidak diberi mandat oleh delegasi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|