Hubungan rapat kerajaan negeri, persekutuan percepat bantuan mangsa banjir

Hubungan rapat kerajaan negeri, persekutuan percepat bantuan mangsa banjir

Kota Marudu: Penyaluran segera bantuan kewangan dan bantuan lain untuk mangsa banjir di daerah ini dapat direalisasikan hasil hubungan rapat di antara kerajaan Sabah dan persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berikutan itu berkata adalah penting untuk mengekalkan hubungan baik dengan kerajaan persekutuan bagi memastikan penderitaan rakyat didengari.

Maximus menyerahkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa banjir di Kota Marudu.

“Dalam pengurusan banjir dan bencana, kerajaan persekutuan mempunyai kuasa tertinggi dari segi perkhidmatan dan penyaluran bantuan kewangan melalui agensi berkaitan.

“Di sini, bantuan tunai RM1,000 untuk setiap isi rumah disalurkan hanya dalam tempoh tiga minggu,” katanya pada program penyampaian Bantuan Wang Ihsan (BWI) di Dewan Komuniti Kota Marudu, hari ini.

Sejumlah 1,161 isi rumah yang terjejas banjir baru-baru ini tersenarai menerima BWI, dengan seramai 829 orang menerimanya hari ini, manakala baki 332 orang sudah menerina BWI masing-masing sebelum ini.

Maximus berkata, kira-kira RM1.4 bilion diperuntukkan oleh kerajaan untuk meringankan beban mangsa banjir berikutan banjir baru-baru ini di enam negeri, termasuk Sabah.

Katanya, setiap isi rumah boleh menerima antara RM10,000 hingga RM61,000, untuk pemulihan kerosakan akibat banjir, bergantung kepada jumlah kerugian harta benda yang mereka alami.

Selain BWI, kerajaan juga menawarkan bantuan lain kepada setiap mangsa seperti baucar tunai RM500 untuk pembelian peralatan elektrik serta diskaun 50 peratus untuk alat ganti kenderaan Proton dan Perodua, manakala syarikat lain menawarkan perkhidmatan tunda kereta percuma dan diskaun sekurang-kurangnya 25 peratus untuk alat ganti dan bayaran pembaikan di pusat servis berdaftar.

Kerajaan turut memberikan baucar RM1,000 untuk pembaikan atau pembelian bagi menggantikan kenderaan persendirian yang mengalami kerosakan keseluruhan; bantuan tunai sehingga RM5,000 untuk membaiki rumah, manakala bagi setiap mangsa yang rumahnya musnah sepenuhnya, kerajaan akan membantu menampung kos sehingga RM56,000 untuk membina rumah baharu.

Maximus yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu berkata dalam kes kerajaan pimpinan pembangkang Selangor, kurang pengalaman mengurus bencana seperti banjir dan ketiadaan hubungan kerja yang erat dengan kerajaan persekutuan menambahkan lagi kesukaran mengurus bencana banjir.

“Sama ada kerajaan negeri kukuh dari segi kewangan tetapi tanpa pengalaman dalam menguruskan bencana, mereka masih perlu bekerjasama dengan agensi kerajaan persekutuan untuk memastikan keperluan rakyat dilindungi.

“Sebab itu pentingnya hubungan rapat antara kerajaan negeri dan persekutuan. Di Sabah, kita bertuah kerana kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dapat berkomunikasi dengan baik dengan kerajaan persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Maximus berkata Pejabat Daerah Kota Marudu menganggarkan RM46 juta nilai kerosakan akibat banjir baru-baru ini, yang mana kerajaan sudah meluluskan peruntukan RM24 juta untuk kerja-kerja pembaikan.

“Bakinya masih belum selesai dan akan diluluskan selepas pengesahan semula oleh agensi berkaitan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|