Covid-19 Sabah: Kes turun di bawah 200 hari ini

Covid-19 Sabah: Kes turun di bawah 200 hari ini

Kota Kinabalu: Selepas beberapa hari mencatat peningkatan kes Covid-19 disebabkan kluster baharu di beberapa daerah, catatan jangkitan di Sabah kembali ke bawah 200 kes hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata secara keseluruhan sebanyak 176 kes baharu dicatat hari ini, turun 80 kes berbanding semalam.

Katanya, jumlah kes baharu daripada kluster aktif juga menunjukkan penurunan dengan hanya 11 kes hari ini, iaitu tujuh dari Kluster Jalan Pertukangan, Sandakan dan empat lagi dari Kluster Puri, Ranau.

“Ini mempengaruhi catatan harian kes baharu yang lebih rendah di negeri ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, terdapat tujuh daerah mencatat kes baharu dua angka yang didahului Kota Kinabalu dengan 41 kes, diikuti Penampang (19 kes), Papar (15 kes), Tuaran (15 kes), Beaufort (13 kes), Sandakan (12 kes) dan Kota Marudu (11 kes).

Katanya, enam daerah iaitu Kalabakan, Nabawan, Kunak, Telupid, Beluran dan Semporna pula tidak mencatat sebarang kes baharu.

“Kedudukan semasa jangkitan Covid-19 di Sabah adalah stabil. Turun naik kes harian secara mendadak banyak dipengaruhi oleh kemunculan kluster baharu dari masa ke masa.

“Namun, apapun jumlah kes setiap hari, statistik yang konsisten ialah lebih 98 peratus daripada semua kes baharu berada dalam Kategori 1 dan 2.

“Vaksinasi telah mengurangkan dengan banyak kes serius akibat jangkitan Covid-19 dan ini telah mengurangkan secara signifikan jumlah pesakit yang perlu dimasukkan di hospital untuk rawatan,” katanya.

Beliau berkata, 172 orang daripada 176 pesakit baharu pada hari ini berada dalam Kategori 1 dan 2, manakala dua pesakit berada dalam Kategori 3 dan masing-masing seorang dalam Kategori 4 dan Kategori 5.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 21 Januari 2022
Sabah 176 (256)

Kota Kinabalu 41 (45)
Penampang 19 (18)
Papar 15 (18)
Tuaran 15 (28)
Beaufort 13 (6)
Sandakan 12 (12)
Kota Marudu 11 (10)
Ranau 8 (12)
Sipitang 6 (2)
Kota Belud 6 (4)
Lahad Datu 5 (4)
Keningau 4 (6)
Tawau 4 (3)
Putatan 4 (21)
Tenom 3 (2)
Kudat 3 (1)
Kuala Penyu 2 (2)
Pitas 2 (3)
Tambunan 1 (1)
Kinabatangan 1 (56)
Tongod 1 (0)
Semporna 0 (0)
Beluran 0 (2)
Telupid 0 (0)
Kunak 0 (0)
Nabawan 0 (0)
Kalabakan 0 (0)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes 20 Januari 2022

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|