UMNO perlu terus perkasa jentera, akar umbi: Bung Moktar

UMNO perlu terus perkasa jentera, akar umbi: Bung Moktar

Kota Kinabalu: Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berpandangan UMNO perlu terus memperkukuhkan jentera semua peringkat bagi persiapan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau berkata, Pilihan Raya Umum (PRU) bukanlah seperti senario menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan persiapannya amat perlu diperincikan untuk memastikan parti keramat itu mendapat mandat rakyat.

“Sekiranya UMNO ingin bangkit semula, untuk memerintah seluruh negara walaupun UMNO sebuah parti yang unggul dan tidak ada tolok bandingnya, tetapi ada sebahagian kecil mengatakan UMNO ini sebuah parti yang juga tidak memainkan peranan ke arah untuk membantu keseluruhan bangsa di negara ini.

“Apa yang perlu di lalui oleh UMNO selain daripada menzahirkan krisis dalaman, UMNO juga perlu memperkukuhkan jentera semua peringkat, untuk PRU ini bukan seperti PRN, bukan seperti biasa-biasa, PRU ini kita harus membuat engagement dengan semua pengundi, sebab kalau PRU ini, something happens with BN dan UMNO, sudah tentu parti ini akan terkubur, “katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengulas mengenai pembukaan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) di Pusat Dagangan Dunia (PWTC), Kuala Lumpur, hari ini.

Malam tadi, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika berucap dalam perasmian Perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO telah menyentuh beberapa perkara termasuklah relevannya desakan mengadakan PRU-15 memandangkan ketidakstabilan politik masa kini.

Mengulas mengenai PRU-15, Bung Moktar turut senada dengan Mohamad dan ianya perlu dilaksanakan.

“Ya, pilihan raya perlu diadakan tetapi saya berpendapat dengan syarat iaitu semua jentera parti di peringkat bawah, pusat daerah mengundi (PDM), cawangan perlu diperkasakan.

“Kalau ini dapat dilaksanakan, saya percaya pilihan raya, PRU ini diadakan UMNO akan dapat bangkit semula, dapat menawan hati rakyat dan akan dapat memikat hati pengundi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|