PRU 15, kita berada di landasan tepat: Bung Moktar

PRU 15, kita berada di landasan tepat: Bung Moktar

Kota Kinabalu: UMNO Sabah berada di landasan tepat untuk membentuk jentera yang lebih efisyen dan berkesan menjelangnya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri yang lalu, UMNO Sabah dilihat telah memperkemaskan jentera dan penyusunan di peringkat akar umbi turut diperkasakan.

“Insyallah, UMNO Sabah selepas PRN yang lalu kita telah memperkemaskan jentera kita, dan kita telah menyusun semua persiapan pilihan raya di bawah.

“Bermakna kita telah bersedia berhadapan dengan pilihan raya (ini), walau bagaimanapun kita juga akan terus mempertingkatkan usaha ke arah untuk membentuk satu jentera yang lebih efisyen dan lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataannya di sini, hari ini.

Ketika ditanya mengenai situasi UMNO Sabah dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjelangnya PRU-15, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata, perkara tersebut akan dibincangkan nanti.

“UMNO di Sabah, agak berlainan sedikit dengan UMNO di Semenanjung, dan ini memerlukan kebijaksanaan untuk berhadapan dengan rakan-rakan dalam GRS dan saya akan cuba membincangkan perkara-perkara yang di fikirkan dengan pendekatan GRS.

“Sebab kita juga tidak mahu bertembung di antara satu sama lain, tetapi kita juga akan akur dengan pucuk pimpinan… ini bermakna banyak kemungkinan akan berlaku sekiranya usaha-usaha yang akan kita rancang tidak berhasil bermakna akan ada kemungkinan-kemungkinan yang lain, “katanya.

Jelas beliau lagi, di era politik serba dinamik, UMNO Sabah sentiasa berhadapan dengan segala kemungkinan namun Bung Moktar tetap berharap perkara itu dapat diselesaikan dengan bijaksana tanpa mengundang kemudaratan bagi mana-mana pihak.

” Sebab itu, politik ini semuanya kemungkinan tetapi saya berharap dan saya yakin rakan-rakan dalam GRS masih boleh di runding dan diperbincangkan,” katanya.

Bung Moktar dalam pada itu turut menasihatkan para ahli dan penyokong UMNO Sabah untuk kekal bertenang selain terus menguatkan iltizam di peringkat akar umbi untuk dizahirkan pada PRU-15 nanti.

“Saya nasihatkan kepada penyokong UMNO Sabah yang pertama ialah bertenang, kedua, perkuatkan jentera pilihan raya di kawasan masing-masing.

“Bermakna kalau kita kuat, siapa pun kita lawan kita menang, tetapi kalau kita hanya tahu menjerit, ‘berteriak’ tetapi di PDM, di cawangan, Pemuda, Puteri, Wanita kita tidak kuat, umpama teriakan tin kosonglah,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|