Dua ditahan bersama 4,800 liter petrol bersubsidi

Dua ditahan bersama 4,800 liter petrol bersubsidi

Sandakan: Dua lelaki yang dipercayai cuba menjalankan kegiatan penyeludupan minyak petrol tidak kesampaian apabila ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam operasi di Jalan Bulatan Batu Sapi, di sini, semalam.

Dalam operasi kira-kira jam 3 petang itu, kedua-dua lelaki berusia 22 dan 35 tahun terbabit pada awalnya dikesan sedang mengisi minyak ke dalam puluhan tong drum di sebuah stesen minyak di Jalan Leila, berhampiran pusat bandar.

Lori yang membawa minyak petrol bersubsidi ditahan anggota PGA.

Curiga dengan gelagat kedua-dua suspek, pasukan operasi yang diketuai Pegawai Pemerintah Batalion 15 PGA Sandakan, Superintendan Abd Halim Ahmad terus melakukan pemerhatian sebelum mengekori kenderaan lori yang digunakan.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, pasukan operasi kemudiannya terus menahan lori berkenaan untuk pemeriksaan.

Superintendan Abd Halim Ahmad

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati lori berkenaan membawa 25 tong drum yang disyaki diisi dengan minyak petrol bersubsidi.

“Pemeriksaan lanjut mendapati 24 tong drum berisi penuh minyak petrol dengan anggaran keseluruhan 4800 liter manakala sebuah lagi tong masih kosong.

Dua lelaki ditahan turut ditahan anggota PGA.

“Kedua-dua suspek bagaimanapun gagal menunjukkan dokumen sah dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk kebenaran membawa minyak bersubsidi,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Abdul Rani berkata, kedua-dua suspek terus ditahan dan dibawa ke Balai Polis Sandakan untuk tindakan selanjutnya termasuk dirujuk ke pejabat KPDNHEP.

Katanya, jumlah keseluruhan rampasan termasuk lori yang digunakan dianggarkan bernilai sebanyak RM59,840.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|