Guna wang secara berhemah – Bung Moktar

Guna wang secara berhemah – Bung Moktar

Kota Kinabalu: Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang membuat pengeluaran khas sehingga RM10,000 diingatkan supaya menggunakan wang berkenaan secara berhemah.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata wang berkenaan perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin untuk keperluan yang mendesak.

Datuk Seri Bung Moktar Radin

Katanya, bagi yang tidak memerlukan atau tiada keperluan mendesak kewangan, wang berkenaan sebaiknya dikekalkan saja dalam KWSP.

“Pencarum perlu mengimbangi keperluan masa kini dengan masalah yang mungkin dihadapi mereka pada masa hadapan jika membuat keputusan mengeluarkan caruman KWSP sekarang.

“Pencarum yang ingin mengeluarkan simpanan, berbelanjalah secara berhemah mengikuti kepentingan dan keperluan yang mendesak pada masa kini.

“Bagi yang tiada keperluan mendesak, kekalkan wang berkenaan dalam simpanan KWSP untuk kegunaan masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan persetujuan kerajaan untuk membenarkan pencarum KWSP membuat pengeluaran khas sehingga RM10,000.

KWSP dalam kenyataannya memaklumkan permohonan pengeluaran caruman boleh dibuat bermula 1 April hingga 30 April depan, manakala bayaran kepada pencarum bermula 20 April.

Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, menyifatkan keputusan kerajaan membenarkan pengeluaran khas itu adalah sesuatu yang baik dan sangat disokong bagi membantu golongan yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

“Ini sudah tentu khabar gembira kepada rakyat selepas perdebatan mengenainya dibawa hingga ke Dewan Rakyat, termasuk saya sendiri membahaskan perkara ini ketika persidangan dua minggu lalu.

“Rakyat memang amat mengharapkan pengeluaran itu kerana mengharungi kehidupan yang susah dan terdesak ekoran penularan pandemik COVID-19.

“Ia juga tentu lebih menggembirakan kepada masyarakat Islam yang bakal menyambut Ramadan dan Aidilfitri dalam meringankan beban mereka,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|