Sebuah rumah rosak akibat banjir di Keningau

Sebuah rumah rosak akibat banjir di Keningau

Keningau: Sebuah rumah rosak manakala beberapa lagi dinaiki air selepas Kampung Lingkudau, di sini, dilanda banjir, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, beberapa penduduk terjejas terpaksa berpindah ke rumah saudara mara masing-masing berikutan tiada pusat pemindahan dibuka.

Keadaan banjir di Kampung Lingkudau, Keningau malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.50 malam.

Katanya, sepasukan sembilan anggota dan pegawai bersama jentera kemudiannya dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian didapati benar berlaku bencana banjir. Pasukan bomba terus menjalankan pemantauan dan mengambil maklumat dilokasi.

“Tiada pusat pemindahan dibuka dan tiada operasi pemindahan dilakukan kerana mangsa berpindah ke tempat selamat di rumah saudara-mara,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, terdapat sebuah rumah rosak akibat bencana banjir berkenaan dan pasukan bomba mengambil tindakan memasang sawar-sawar di lokasi kejadian.

Katanya, pemantauan masih lagi dijalankan dan maklumat akan diberi dari semasa ke semasa.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|