Kota Kinabalu: Pemimpin Parti Warisan (WARISAN) perlu mengakui ramai dalam kalangan mereka berasal daripada UMNO sebelum membentuk atau menyertai parti baharu mereka sekarang.
Ketua Penerangan UMNO Sepanggar, Ibrahim Dzul Aklamat, sehubungan itu mengingatkan pemimpin parti berkenaan supaya tidak hanya pandai memburukkan UMNO.
Katanya, pemimpin WARISAN tidak boleh terlalu mendabik dada, sebaliknya perlu mengingati kiasan mengenai adanya langit di atas dan bumi tempat mereka berpijak ketika ini.
“Janganlah sikit-sikit di mulut anda UMNO itu buruk tetapi lihat di sekeliling anda siapa pemimpin-pemimpin tertinggi anda? Mereka juga berasal daripada UMNO.
“Sebabnya UMNO selalu melahirkan pemimpin-pemimpin pelapis yang terbaik. Saya ambil contoh YB Ajis Jaman (Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Penerangan Wira WARISAN Sepanggar, Reynold Valentine Chin berhubung beberapa perkara yang menjadi perdebatan di antara UMNO dan WARISAN, khususnya di kawasan Sepanggar.
Ibrahim berkata, kenyataannya sebelum ini yang dinafikan Reynold dalam kenyataan terbarunya semalam adalah bersumberkan fakta yang pernah disiarkan media.
Antaranya, beliau berkata penyaluran dana atau peruntukan khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di negeri ini yang berjumlah RM3.1 juta kepada 31 ADUN pernah diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor untuk menangani pandemik Covid-19 di kawasan masing-maisng pada Februari tahun lalu.
Begitu juga katanya peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang pernah diumumkan oleh Perdana Menteri sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin berjumlah RM300,000 seorang tanpa disebut sama ada mewakili Pakatan Harapan (PH) atau bukan.
“Dalam soal pembahagian bantuan kerajaan tiada kata hanya PH saja. Pemberian bantuan merangkumi semua Ahli Parlimen dan juga ADUN. Jadi jangan ‘spin’ pembaca dengan dakyah yang tidak betul, berhujah biar berfakta,” katanya.
Beliau turut mengulas berkaitan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri yang didakwa Reynold kerana hilang majoriti dan berpunca daripada ‘plot’ UMNO.
“Saya mahu tanya Penerangan Wira WARISAN adakah dakwaan beliau yang menyatakan yang Tun M meletak jawatan akibat kehilangan majoriti?
“Tun M meletak jawatan kerana pada ketika itu berlaku perebutan jawatan PM di antara kem Anwar Ibrahim (Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim) dengan kem Tun M sendiri.
“Kem Anwar mendesak Tun M untuk menyerahkan jawatan PM kepada Anwar Ibrahim. Akibat daripada rentetan itu Tun M dengan sukarela meletak jawatan tanpa ada masuk campur daripada parti UMNO.
“Adakah ini salah UMNO juga? Baca link tersebut (https://www-bharian-com-my.cdn.ampproject.org/v/s/www.bharian.com.my/amp/berita/nasional/2020/02/658662/tun-m-letak-jawatan-perdana-menteri?). Baru anda tahu siapa yang buat plot rampasan kuasa,” katanya.
Mengenai kemerosotan ekonomi Sabah ketika pentadbiran kerajaan WARISAN yang didakwa disebabkan kemelesetan ekonomi dunia khususnya pada 2018, Ibrahim berkata dakwaan itu bertentangan dengan laporan Bank Dunia.
“Jika dilihat trend pengurusan zaman Barisan Nasional (BN) pada 2017, Sabah adalah sebuah negeri yang berdaya saing dan ia terbukti dengan KDNK 2017 sebanyak 8.2 peratus manakala ketika PH memerintah dilihat kurang memberansangkan sedangkan Bank Dunia menyatakan ekonomi 2018 agak baik.
“Pelabur akan melihat kepada kestabilan politik sesebuah negara untuk melabur. Jika kestabilan itu goyang maka pelabur akan tarik diri, kita lihat kenyataan berikut:https://www-astroawani-com.cdn.ampproject.org/v/s/www.astroawani.com/berita-malaysia/pelabur-asing-tarik-diri-itu-perkara-biasa-malaysia-tidak-begitu-risau-tun-m-209007?
“Adakah ini alasan ekonomi Sabah menjunam dari 8.2 peratus pada 2017 kepada 1.5 peratus pada 2018 dan 0.5 peratus pada 2019, sedangkan unjuran Bank Dunia keadaan ekonomi mempunyai trend kenaikan,” katanya.
Dalam isu bekalan air dan elektrik yang didakwa Reynold berada dalam bidang kuasa kerajaan negeri, kecuali bagi kawasan luar bandar, Ibrahim berkata perkara itu sepatutnya diajukan kepada Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
“Kenapa tidak tanya kepada Presiden WARISAN yang selama 23 tahun menjadi YB mewakili UMNO dan memegang jawatan Menteri di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang mempunyai salah satu bajet terbesar ketika itu.
“Apa jadi sama jalan raya kampung? Bekalan Air Luar Nandar (BALB)? Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) yang di bawah seliaan kementerian tersebut?,” soalnya.
Beliau berkata, sebab itu Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin memohon kepada persekutuan agar Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah diiktiraf sebagai jabatan teknikal supaya semua keputusan mengenai infrastruktur, air dan elektrik dapat diputuskan Sabah sendiri.
Ibrahim turut mengulas mengenai Azis yang hanya lantang bersuara ketika menjadi pembangkang yang didakwa disebabkan sebelum ini Azis berada dalam Kabinet persekutuan sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri.
“Persoalannya mengapa baru sekarang? Tidakkah mudah jika bersuara semasa jadi kerajaan waktu itu? Sedangkan sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka pada 2018, Tun M sudah menyatakan dalam ucapannya perenggan ke-15 mengenai pemberian semula hak kepada Sabah.
“Itu sudah cukup untuk meminta disegerakan apatah lagi ketika itu berada dalam Kabinet sebagai Timbalan Menteri. Kita ambil contoh cara Datuk Seri Bung Moktar mendesak kerajaan persekutuan. Kita maklum dia ialah Timbalan Ketua Menteri dan menteri negeri. Jika itu alasannya rakyat tidak dapat terima alasan anda dengan berkata-kata sahaja,” tegasnya.
Mengenai pencapaian WARISAN sepanjang menjadi kerajaan di Sepanggar, Ibrahim berkata banyak isu infrastruktur hanya dilaksanakan selepas kerajaan Gabungan Rakyat Sabah – BN (GRS-BN) mengambil alih kerajaan negeri.
Reynold dalam kenyataannya sebelum ini mendakwa Azis melaksanakan banyak pembaikan kerosakan jalan raya dan kemudahan lain termasuk rumah golongan B40, masjid, surau dan gereja.
“Adakah anda pasti semua yang anda katakan dalam Para 6 anda? Saya ambil contoh tebatan banjir Kampung Rampaian dan ada lagi beberapa jalan kampung di Karambunai.
“Di Kingfisher sendiripun berlubang- lubang. Ketika GRS-BN mengambil alih pentadbiran barulah jalan-jalan seperti di Kingfisher dibaiki, tebatan banjir dijalankan semula.
“Aanda pernah masuk Likas? Apa pendapat anda tentang jalan raya di sana? (berlubang-lubang). Ini kawasan pesisir belum lagi kawasan darat (bukit),” katanya.
Akhir sekali mengenai isu parti politik yang menguasai Sepanggar, Ibrahim berkata WARISAN tidak menguasai semua kawasan Sepanggar kerana DUN Inanam berada di bawah PH (PKR)
“Sudah beberapa penggal PKR menerajui Inanam sebelum kewujudan WARISAN lagi. Jadi agak janggal anda berkata WARISAN menang di Inanam sedangkan PKR guna lambang sendiri.
“DAP sahaja guna lambang WARISAN sewaktu PRN-16, bukan begitu? Setahu saya PKR tidak sebulu dengan WARISAN ketika ini, bagaimana anda kata ia jadi WARISAN Plus sedangkan parti anda tidak berada dalam khemah PH?
“Jika betul rakyat Sepanggar tidak tolak WARISAN, kenapa DUN Karambunai berjaya dirampas semula oleh BN? Siapa sebenarnya sekarang ini yang bermain dengan syndrome penafian?,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa demokrasi di negara ini masih mengamalkan sistem majoriti kerusi dalam DUN dan bukan berdasarkan undi popular.
Katanya, WARISAN menjadi kerajaan selepas PRU-14 juga disebabkan ada wakil rakyat yang melompat untuk bersama parti itu dan bukannya disebabkan mendapat jumlah majoriti pada pilihan raya.
Jelasnya, penolakan rakyat terhadap WARISAN juga semakin ketara pada PRN-16 pada September 2020 apabila parti itu gagal mendapat majoriti untuk kembali menguasai kerajaan negeri.
-Deasoka