Samseng laut dalam rakaman tular, ditahan PPM

Semporna: Bukan sahaja bertindak berani menceroboh perairan negara, malah turut berlagak samseng apabila cuba membaling bom ikan ke arah bot tempatan.

Itu gelagat beberapa individu dipercayai warga asing yang bertindak sedemikian selepas ditegur kerana melakukan aktiviti mengebom ikan di perairan daerah ini.

Bot digunakan suspek turut dirampas.

Kejadian berkenaan tular selepas rakaman yang memaparkan aksi kejar mengejar antara kumpulan samseng dan bot nelayan tempatan berdurasi dua minit 24 saat berkenaan dimuat naik di media sosial.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohamad Ismail berkata, bertindak atas rakaman tular berkenaan, pihaknya terus melakukan siasatan.

Anggota PPM menahan dua lelaki yang bertindak samseng di perairan Semporna.

Katanya, hasil siasatan, pihaknya berjaya menahan dua lelaki warga asing berusia 28 dan 30 tahun.

“Pasukan operasi berjaya menahan kedua-dua samseng laut terbabit yang melakukan jenayah menakutkan masyarakat maritim dan melakukan aktiviti mengebom ikan di perairan negara.

“Pasukan operasi turut berjaya merampas dua botlaju yang menggunakan enjin 40 kuasa kuda,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohamad berkata, kedua-dua suspek bersama barang rampasan kemudiannya dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Sehubungan itu, Mohamad berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.

Katanya, maklumat boleh disalurkan secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 013-9391197 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga dan terkawal.

Dalam kejadian Khamis lalu, sekumpulan individu itu dirakam cuba membaling botol dipercayai bom ikan ke arah bot nelayan tempatan.

Kejadian dipercayai berpunca daripada nelayan tempatan yang menegur tindakan kumpulan samseng itu menceroboh perairan negara dan melakukan aktiviti mengebom ikan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|