Sandakan: Seorang lelaki warga emas parah selepas kenderaan dipandunya bertembung dengan sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux, dalam kejadian di Jalan Batu 12, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, mangsa berusia 69 tahun yang memandu Nissan Vanette, parah selepas tersepit di tempat duduk pemandu.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.35 tengah hari.
Katanya, sepasukan sembilan anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan operasi mendapati tiga mangsa lelaki terlibat termasuk seorang pemandu van yang tersepit dan mengalami kecederaan parah.
“Pasukan operasi kemudiannya berusaha mengeluarkan mangsa tersepit sebelum diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, dua lagi mangsa di dalam kenderaan Toyota Hilux hanya mengalami kecederaan ringan.
“Semua mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital menggunakan jentera EMRS dan Ambulans untuk rawatan lanjut.
Katanya, pasukan bomba kemudiannya membuat pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 10.26 pagi.
-Deasoka