Kota Kinabalu: Seorang wanita ditahan bersama seorang lelaki selepas dikesan terbabit dalam kes penipuan jual beli kucing menerusi laman sosial facebook, Isnin lalu.
Wanita berusia 26 tahun itu mengaku memberikan kad ATM miliknya kepada tunangnya, 36 tahun yang dikenalpasti terbabit dalam kes kerugian sebanyak RM11,000 berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Superintendan Moses Govindarajoo berkata, pihaknya berjaya menahan suspek wanita terbabit di pejabat JSJK Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah.
Katanya, hasil siasatan lanjut kemudiannya membawa kepada penahanan suspek lelaki dalam operasi di Jalan Tuaran Bypass.
“Tangkapan susulan terhadap lelaki terbabit dijalankan selepas hasil risikan mendapatinya bertindak sebagai orang tengah kepada sindiket penipuan.
“Suspek lelaki terbabit menggunakan akaun bank milik tunangnya untuk menerima wang kegiatan penipuan sebelum dipindahkan ke beberapa akaun luar negara,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Moses berkata, lelaki terbabit turut mengakui bekerjasama dengan sindiket luar negara untuk menjalankan aktiviti jenayah penipuan dengan menjadi perantara pindahan wang hasil daripada penipuan.
Sehubungan itu, Moses mengingatkan orang awam supaya tidak berkongsi kad ATM, maklumat perbankan dan lain-lain maklumat peribadi yang membolehkan anda terlibat dengan jenayah penipunlan secara tidak langsung.
Katanya, kesalahan ini boleh disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
-Deasoka