‘Bangkit Sang Badak, tewaskan KDA FC’ esok

‘Bangkit Sang Badak, tewaskan KDA FC’ esok

Kota Kinabalu: Sabah FC perlu bangkit dan mendapatkan semula rentak permainan untuk mencapai keputusan yang lebih baik apabila bertemu Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Likas, malam esok.

Ketua Jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee, berkata apapun keputusan permainan sebelum ini termasuk tewas kepada Kuala Lumpur City FC di gelanggang lawan perlu diketepikan.

“Kedah sebuah pasukan yang cukup kuat sebelum liga bermula lagi. Ini terbukti dengan kedudukan mereka sekarang selepas tewas kepada Selangor, KDA FC bangkit menewaskan pasukan Penang FC.

“Kita tidak boleh mengambil kira apa keputusan yang telah kita capai sebelum ini selepas kita juga tewas kepada pasukan KL City FC yang mana saya percaya pasukan Kedah adalah pasukan yang lebih seimbang.

“Kita harus mendapatkan rentak kita semula untuk mencapai satu keputusan yang baik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Kim Swee berkata, penyerang import dari Brazil, Neto Pessoa masih lagi mengalami kecederaan dan perlu mengambil masa yang lama untuk pulih sepenuhnya.

Katanya beliau mempunyai ramai pemain yang berupaya mengambil alih posisi Neto sementara proses pemulihan daripada kecederaan selesai.

“Ini penting dalam saingan liga yang begitu panjang. Kecederaan, penggantungan disebabkan kad kuning, harus kita terima dan memastikan sesiapa sahaja yang tersenarai menggantikan pemain-pemain utama boleh menjalankan tugas dengan baik.

“Saya percaya juga semua pemain bersedia untuk diturunkan dalam pertembungan menentang Kedah esok bagi memastikan kita bermain dengan lebih baik seperti yang ditunjukkan ketika menentang pasukan KL City FC,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|