Salurkan segera dana RM8.2 juta bantu mangsa kebakaran Kampung Bangau-Bangau – Shafie Apdal

Semporna: Parti Warisan (WARISAN) menggesa kerajaan negeri menyalurkan segera peruntukan RM8.2 juta untuk membantu mangsa kebakaran di Kampung Bangau-Bangau yang terjejas ketika kebakaran pada 2015.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata peruntukan yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada 6 April lalu amat diperlukan untuk membina semula rumah mangsa kebakaran di lokasi sama.

Mohd Shafie menyampaikan bantuan kewangan kepada mangsa kebakaran Kampung Bangau-Bangau, Semporna.

Beliau turut menggesa supaya pembinaan rumah mangsa di tempat asal disegerakan tanpa memindahkan penduduk ke kawasan lain.

“Mereka (kerajaan negeri) sudah menyatakan bantuan RM10 juta di Tawau dan RM8.2 juta di kawasan Bangau-Bangau, jadi saya minta supaya bina rumah mangsa di tempat asal rumah mereka.

“Kalau ada persoalan dari segi keselamatan uruskan, kalau rumah yang berdekatan boleh dijaga dengan baik takkan di sini tidak boleh dijaga dengan baik. Jangan pindahkan mereka di mana- mana tempat kerana mereka berasal dari kampung ini.

“Kalau dimasukkan ke Kampung Bugaya tidak sesuai nanti membantah pula masyarakat di kampung itu, jadi saya sangat berharap perkara ini dapat dipercepatkan,” katanya selepas melawat dan menyampaikan bantuan kewangan kepada 107 ketua isi rumah (KIR) mangsa kebakaran Kampung Bangau-Bangau, di sini, hari ini.

Penempatan sementara mangsa kebakaran Kampung Bangau-Bangau musnah pada lewat malam Rabu lalu, memusnahkan 10 blok bangunan rumah transit 100 pintu menyebabkan 712 mangsa kebakaran tinggal sehelai sepinggang.

Mohd Shafie yang juga Ahli Parlinen Semporna, berkata peruntukan dalam jumlah yang sama sudah diluluskan kerajaan WARISAN sebelum ini, namun dana itu belum disalurkan menyebabkan penduduk tinggal dalam keadaan daif hampir tujuh tahun sebelum ditimpa satu lagi insiden kebakaran pada Rabu lalu.

“Waktu kita jadi kerajaan dahulu kita sudah luluskan RM8 juta dan kita salurkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR). Saya ingat Pegawai Daerah maklumkan saya sudahpun diluluskan cuma duitnya itu bila sampai.

“Jadi ini kena dipercepatkan, jangan lambatkan kerana mereka yang berada di sini tinggal dalam keadaan yang begitu daif dengan binaan rumah menggunakan ‘plywood’ seakan-akan tinggal dalam kandang sedangkan mereka ini manusia dan perlu ditempatkan semula kerana mereka bukannya orang asing,” katanya.

Beliau turut menggesa supaya pihak kerajaan memindahkan mangsa kebakaran ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Bubul Ria sementara menunggu pembinaan rumah mereka diselesaikan.

“Kita ada satu perumahan di Bugaya, di Kampung Bubul. Di situ rumahnya kosong iaitu untuk pemindahan penduduk Kampung Simunul tapi mereka belum lagi masuk ke tempat itu.

“Kalau sekiranya tempat itu boleh digunakan sementara sehingga pembinaan rumah mereka dapat diatasi maka kita akan gunakan, daripada bangunan itu dibiarkan kosong baik digunakan untuk menjaga keadaan masyarakat kita.

“Saya akan bincang dengan Pegawai Daerah supaya perkara ini akan dapat diatasi, cuma saya minta mangsa akan berada di dewan ini sehingga Hari Raya, kalau kerajaan negeri tidak mampu untuk menyediakan makanan sehingga Hari Raya ini, Ahli Dewan Rakyat Semporna akan tampung,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|