PRU-15: WARISAN teliti bertanding kerusi Parlimen di Semenanjung pada PRU-15

Semporna: Parti Warisan (WARISAN) sedang meneliti secara terperinci untuk bertanding kerusi Parlimen di Semenanjung pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata WARISAN sedang mengenal pasti kawasan Parlimen di Semenanjung yang dilihat mampu memberi kemenangan kepada parti itu.

Mohd Shafie melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran Kampung Bangau-Bangau, Semporna.

“Kita bersedia untuk perkuatkan kedudukan kita di peringkat negeri Sabah, di samping itu kita akan cuba di Johor kerana ramai kawan kita dan penggerak kita di Semenanjung.

“Kita lihat di mana kawasan kita boleh menang bukan di semua negeri kita akan bertanding, mana kawasan yang kita mampu mendapat kejayaan, kita akan bertanding, sama ada di Kedah, Perak, Pulau Pinang dan tempat lain, kita akan kaji secara mendalam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat dan menyampaikan bantuan kewangan kepada 107 Ketua Isi Rumah (KIR) mangsa kebakaran di Dewan Belia dan Sukan Semporna, di sini, hari ini.

Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata demikian ketika diminta mengulas perancangan WARISAN pada PRU-15 termasuk kemungkinan meletakkan calon di Semenanjung selepas berbuat demikian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, baru-baru ini.

Katanya, meskipun WARISAN gagal memenangi sebarang kerusi pada PRN Johor, namun beliau yakin dengan jumlah undi yang diperolehi WARISAN, parti itu yakin boleh bertanding kerusi Parlimen di Semenanjung.

“Di Johor itu masanya singkat, cuma tiga minggu sahaja, walaupun dalam masa yang singkat tapi kita dapat beribu undi, maknanya ada juga yang mengundi dengan kita walaupun masanya singkat.

“Yang kita dapat lihat PAS bertanding di Sabah ini 30 tahun sampai sekarang ini tidak pernah menang, kita WARISAN baru tiga minggu di situ. Jadi kita akan lihat, pantau, selidiki secara terperinci, tidak ada ertinya kita bertanding kalau tidak menang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|