UMNO Beaufort serah bantuan mangsa banjir Kampung Kerukan

UMNO Beaufort serah bantuan mangsa banjir Kampung Kerukan

Kuala Penyu: UMNO Bahagian Beaufort tampil memberi sumbangan peralatan rumah kepada 52 ketua isi rumah yang terbabit dengan musibah banjir di Kampung Kerukan, di sini.

Sumbangan berupa tilam, bantal dan selimut itu disampaikan Setiausaha UMNO Bahagian Beaufort, Abdul Rahman Mohd Taib yang mewakili Ketua UMNO Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat yang kini berada di Johor membantu jentera Barisan Nasional (BN) dalam kempan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Abdul Rahman bersama Ak Yazri menyampaikan bantuan bakul makanan kepada penduduk yang menjalani kuarantin di rumah di Kampung Palu-Palu, Kuala Penyu.

Abdul Rahman berkata sumbangan itu diharap dapat meringankan beban mangsa yang terkesan akibat banjir bulan lalu yang merosakkan banyak harta benda penduduk.

“Hari ini UMNO bahagian tampil menghulurkan bantuan walaupun ianya hanya bantuan kecil namun kami berharap ia dapat meringankan beban mangsa yang terlibat,” katanya.

Sementara itu, penduduk mezahirkan penghargaan dan terima kasih kepada UMNO bahagian Beaufort yang cakna dan prihatin terhadap nasip mereka yang terjejas teruk ketika banjir berkenaan.

Seorang penduduk, Abd Razak Jilun, berkata sumbangan itu dapat meringankan beban penduduk khususnya golongan kurang berkemampuan.

Dalam perkembangan yang sama, Abdul Rahman berkata UMNO Beaufort juga terus melaksanakan tanggungjawab sosialnya dengan membantu menghulurkan bakul makanan kepada mereka yang menjalani kuarantin kendiri di rumah ekoran jangkitan Covid-19.

“Setiap keluarga yang menjalani kuarantin di rumah akan diberikan antuan bakul makanan sebaik saja kita menerima laporan memgenai keadaan mereka,” katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman turut mengingatkan penduduk di daerah ini agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan selain mengutamakan aspek kebersihan dan mengelak berkumpul beramai-ramai.

“Pematuhan SOP ini penting bagi mengekang penularan virus Covid-19 yang masih lagi berlaku ketika ini terutamanya di daerah ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|