Malaysia tunggu Arab Saudi tentukan kuota haji tahun ini

Malaysia tunggu Arab Saudi tentukan kuota haji tahun ini

Tawau: Jemaah haji dari negara ini boleh menunaikan ibadah haji jika tiada halangan daripada kerajaan Arab Saudi pada tahun ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata pihaknya sedang menunggu maklum balas kerajaan Arab Saudi berhubung perkara itu.

Ahmad Marzuk (tiga kanan) menyampaikan sumbangan YAPEIM dan JAKIM untuk mangsa kebakaran di Kampung Titingan, Tawau.

Katanya, Malaysia sudah dua tahun tidak menghantar jemaah haji berikutan penularan Covid-19 yang melanda negara sejak dua tahun lalu.

“Sehingga ke tarikh ini kita masih memutuskan, kalau tidak ada apa-apa halangan, kita akan hantar. Kita tidak tahu apa terjadi di hari depan nanti tetapi kita doakanlah supaya kita mampu untuk menghantar jemaah haji pada tahun ini kerana sudah dua tahun kita tidak menghantar jemaah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengagihkan bantuan kepada 78 ketua isi rumah (KIR) mangsa kebakaran di Balai Raya Kampung Titingan, di sini, hari ini.

Turut hadir Pembantu Menteri Kewangan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Ahmad Marzuk berkata, kerajaan juga masih menunggu jumlah kuota haji yang dibenarkan oleh kerajaan Arab Saudi memandangkan penularan Covid-19 masih berterusan.

Jelasnya, lazimnya kuota jemaah haji yang dibenarkan sebelum penularan Covid-19 melebihi 30,000 jemaah, namun kuota kali ini mungkin berkurangan untuk memastikan penjarakan fizikal dapat dilakukan.

“Kita kini masih lagi menunggu keputusan kerajaan Arab Saudi berapa kuota diberi kepada Malaysia.

“Kalau kebiasaannya kita dapat 32,000, atau 30,000 tidak termasuk yang tambahan, tapi tahun ini kita belum mendapat jumlah yang diperuntukkan oleh kerajaan Saudi kepada Malaysia.

“Sekiranya sudah ada angka yang tepat kita akan mula menyaring jemaah untuk memastikan yang layak untuk pergi mengerjakan haji,” katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran daripada dana Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) sebanyak RM38,000 dan tabung Musa’adah JAKIM sebanyak RM12,400 dalam bentuk bakul makanan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|