PRN Johor: Jentera BN perlu tangkas betulkan persepsi rakyat – Bung Moktar

PRN Johor: Jentera BN perlu tangkas betulkan persepsi rakyat – Bung Moktar

Ulu Tiram (Johor): Jentera Barisan Nasional (BN) termasuk pemimpin akar umbi diingatkan supaya tangkas bertindak dan berperanan lebih besar menyampaikan kebenaran untuk membetulkan persepsi negatif rakyat yang dikelirukan pihak pembangkang.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata pembangkang gemar menyelewengkan fakta dan menyebarkannya menerusi media sosial sehingga yang batil menjadi benar dan kerajaan serta pemimpinnya menjadi mangsa.

Bung Moktar bersama beberapa pemimpin BN membantu kempen calon BN PRN Johor.

“Inilah modal kempen mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, sama seperti apa yang mereka lakukan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Namun, saya yakin dan percaya rakyat Johor termasuk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram dan Putri Wangsa lebih bijak berfikir yang mana fitnah dan fakta,” katanya pada majis ramah mesra bersama jentera dan calon BN, di sini, hari ini.

Calon BN DUN Tiram, Azizul Bachok dan Calon BN DUN Putri Wangsa, Ng Yew Aik.

Hadir sama Ketua UMNO yang juga Pengerusi BN Tebrau, Datuk Maulizan Bujang; Calon BN DUN Tiram, Azizul Bachok; Calon BN DUN Putri Wangsa, Ng Yew Aik dan Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan

Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO mengingatkan pengundi Johor agar tidak mudah terpedaya dengan dakyah kempen pihak lawan terutama di media sosial yang banyak pembohongan, fitnah dan serangan peribadi.

“Corak kempen mereka (parti lawan) lebih kepada propaganda, mereka gagal menunjukkan tawaran yang terbaik kepada rakyat Johor berbanding dengan manifesto BN yang lebih jelas halatujunya jika diberikan mandat oleh rakyat dalam PRN kali ini,” katanya.

Ketua UMNO Sabah itu berkata, bagaimanapun yakin rakyat Johor tidak akan tertipu lagi dan PRN kali ini adalah masa sesuai untuk mengembalikan potensi kejayaan Johor bersama BN.

Mengulas calon yang diletakkan oleh BN bagi DUN Tiram dan Putri Wangsa, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata kedua-dua tokoh calon adalah pemimpin muda yang bertenaga dan berwawasan jauh untuk membawa perubahan di kawasan itu.

“Kepemimpinan BN Pusat dan Johor sudah tentu meletakkan calon yang berkualiti yang boleh menggalas tugas sebagai wakil rakyat. Justeru, rakyat di kawasan ini perlu menyokong dan memastikan dua kawasan ini akan dikuasai oleh BN,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|