Ujian kemampuan tempur 5 Briged di Pedalaman

Ujian kemampuan tempur 5 Briged di Pedalaman

Kota Kinabalu: Formasi Briged Ke-5 Infantri Malaysia (5 Briged) menguji kemampuan menerusi Eksesais Satria Perkasa yang dilaksanakan di sekitar kawasan Keningau, Nabawan, Sapulut dan Kalabakan bermula 15 hingga 25 September lalu.

Panglima 5 Divisyen, Mejar Jeneral Abdul Rahman A Wahab berkata, latihan itu diadakan seiring dengan Tonggak Pertama Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu Kelangsungan Misi Dan Kesiagaan.

Panglima 5 Divisyen, Mejar Jeneral Abdul Rahman A Wahab pada Eksesais Satria Perkasa yang diadakan di Keningau, Nabawan, Sapulut dan Kalabakan.

Katanya, pelaksanaan Eksesais Satria Perkasa itu mampu menguji keupayaan sebenar setiap peringkat anggota tentera dalam berdepan sebarang pertempuran.

“Eksesais yang berkonsepkan Field Training Exercise (FTX) dilaksanakan bagi menguji kemampuan pasukan.

“Menerusi latihan berkenaan, pasukan 5 Briged lebih didedahkan dalam aspek taktikal berkonsepkan peperangan konvensional dalam fasa ofensif,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Penutup Eksesais Satria Perkasa di Sapulut.

Latihan berkenaan juga katanya diharap akan membantu para pegawai serta anggota untuk terus mempertingkatkan kemahiran ketenteraan serta keupayaan individu.

Katanya, ia bagi memastikan ketumbukan 5 Divisyen sentiasa bersiaga dalam menghadapi sebarang kemungkinan.

“Ia juga bagi memastikan kedaulatan negara amnya dan Sabah khususnya sentiasa terpelihara,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|