Kota Kinabalu: Pusat Latihan Petroleum Kimanis (KTC) yang beroperasi sejak 2011 berjaya melahirkan seramai 174 pelatih berkemahiran tinggi dalam bidang minyak dan gas di Sabah setakat ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Technical Training Sdn Bhd, Idris Ibrahim, berkata 100 peratus graduan pusat latihan dikendalikan PETRONAS itu mendapat pekerjaan dalam industri minyak dan gas serta industri lain.
KTC katanya ditubuhkan sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat PETRONAS bagi menyokong pembangunan modal insan di Sabah, khususnya dalam industri minyak dan gas.
“KTC komited dalam membangunkan dan melengkapkan belia di Sabah dengan kemahiran dan kelayakan yang diperlukan untuk mereka menceburi pekerjaan dalam industri minyak dan gas,” katanya pada Majlis Konvokesyen KTC di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Seramai 42 pelatih KTC ambilan 2017 dan 2018 menerima skrol diploma masing-masing yang disampaikan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk Datu Rosmadi Datu Sulai.
Yang turut hadir ialah Setiausaha Pejabat Hal-Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Sabah, Datuk Awang Shaminan Awang Sahari; Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Maria Chong; Ketua Pelaburan Modal Insan, Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan PETRONAS, Syed Mohamad Muhafiz Syed Bakar dan Ketua PETRONAS Sabah dan Labuan, Siti Ayu Abdul Wahab.
Sementara itu, Datu Rosmadi berkata kerajaan Sabah menghargai usaha PETRONAS yang kekal teguh dengan komitmennya terhadap pelaburan dalam bidang pendidikan dan pembangunan modal insan terutama di Sabah meskipun industri global berdepan dengan pelbagai cabaran.
Katanya, ia termasuk penubuhan KTC, pembinaan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ranau dan penganugerahan tahunan Program Penajaan Pendidikan PETRONAS kepada pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi.
“PETRONAS juga menyumbang melalui program Bantuan Penajaan dan Latihan Institusi Vokasional (VISTA) membabikan lima institusi di Sabah untuk membangunkan keupayaan teknikal belia di negeri ini, selain pelbagai lagi program yang menyumbang kepada pembangunan bakat untuk negeri dan negara,” katanya.
KTC yang beroperasi bersebelahan Terminal Minyak Dan Gas Sabah (SOGT) di Kimanis adalah pusat latihan pertama di Sabah yang diakreditasi di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia.
Pusat itu menawarkan program diploma secara sepenuh masa selama tiga tahun dalam bidang Instrumentasi Industri dan Kawalan Sistem – Pemantauan dan Kawalan (Tahap 4), Diploma Kemahiran Malaysia.
Selain itu, KTC turut bekerjasama dengan Akademi Binaan Malaysia (ABM) bagi menyediakan latihan perancah kepada belia Sabah melalui Program VISTA.
-Deasoka