Fobia, malu dan trauma punca mangsa gangguan seksual enggan buat laporan

Fobia, malu dan trauma punca mangsa gangguan seksual enggan buat laporan

Kota Kinabalu: Fobia, malu dan trauma menjadi antara faktor majoriti mangsa yang mengalami gangguan seksual mengambil keputusan untuk tidak membuat laporan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Yakub Khan menegaskan, masih banyak usaha yang perlu dilakukan dalam menyediakan platform yang selamat untuk mereka sekali gus memastikan nasib mangsa terbela.

Yakub (tengah), Wan Zulkifli (kiri) pada Majlis Perasmian Konvensyen Perburuhan Peringkat Negeri Sabah Siri 3/2022 di Magellan Sutera Harbour.

Menurutnya, langkah-langkah proaktif juga perlu diambil bagi menyediakan persekitaran kerja yang kondusif dan bebas daripada isu-isu seperti ini.

“Ini kerana berdasarkan beberapa soal selidik, statistik menunjukkan bahawa mangsa tampil membuat aduan masih terlalu rendah.

“Kira-kira 80 peratus individu mengalami gangguan seksual tidak membuat laporan atas pelbagai sebab seperti fobia, malu dan trauma.

“Oleh itu, bagi mewujudkan suasana kondusif terutama di tempat kerja, perlakuan berkenaan tidak seharusnya dipandang remeh.

“Kita yakin perlakuan kecil jika dibiarkan akan bertambah serius kerana si pelaku merasakan mangsa boleh menerima segala tindakannya,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Perasmian Konvensyen Perburuhan Peringkat Negeri Sabah Siri 3/2022 di Magellan Sutera Harbour, di sini, hari ini.

Yakub berkata, konvensyen yang mengangkat tema “Gangguan Seksual di Tempat Kerja: Persepsi versus Realiti” itu dilihat mampu meningkatkan tahap kesedaran dalam kalangan pekerja.

“Kita berharap konvensyen ini boleh menyedarkan masyarakat betapa pentingnya kesedaran kita dalam mengetahui akta-akta membabitkan gangguan seksual di tempat kerja ini.

“Saranan saya kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) agar program seumpama ini dapat diadakan sekerap dan seluas mungkin di seluruh negeri,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Tenaga Kerja Sabah, Wan Zulkfli Wan Setapa berkata, pihaknya mengutamakan pendekatan ‘mencegah lebih baik daripada mengubati’.

“Sebagai contoh, amalan yang dilaksanakan oleh pihak majikan ialah membuat satu kenyataan daripada pihak pengurusan tertinggi yang menolak, menentang dan menyanggah sebarang bentuk gangguan seksual di tempat kerja.

“Ia perlu dipaparkan di premis-premis mereka, malah majikan juga diminta untuk memasukkan klausa-klausa tersebut dalam kontrak perkhidmatan mereka,” katanya.

Konvensyen pada kali ini adalah yang terbesar dianjurkan dengan penglibatan seramai 400 orang, terdiri daripada majikan pelbagai bidang seperti perladangan, pembuatan, peruncitan, restoran dan pembersihan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|