Kampung Warisan, Kalansanan diwarta sebagai perkampungan sah

Kampung Warisan, Kalansanan diwarta sebagai perkampungan sah

Kota Kinabalu: Penantian selama 26 tahun penduduk Kampung Warisan dan Kalansanan, Inanam, di sini, untuk kawasan berkenaan diwartakan sebagai perkampungan yang sah akhirnya tercapai.

Kawasan perkampungan yang dianggarkan seluas 55 hektar itu mula dibuka pada 1996 dan kini diduduki lebih 10,000 penduduk.

Berita gembira pewartaan kampung berkenaan disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Yakub Khan pada Majlis Pengumuman Khas yang diadakan di Dewan Kampung Warisan, di sini, semalam.

Yakub berkata, kejayaan mendapatkan kelulusan mewartakan tanah di kedua-dua perkampungan berkenaan ternyata memberi khabar gembira kepada semua penduduk terlibat.

Katanya, selepas sekian lama diusahakan termasuk dibawa ke pihak berkaitan dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Nor, perkara itu akhirnya dapat direalisasikan.

“Ia mengembirakan seluruh penduduk kampung dan saya mewakili mereka yang terlibat untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ketua Menteri atas kelulusan yang diberikan.

“Bagaimanapun, saya berpesan kepada penduduk di sini, supaya menjaga kampung ini dan memastikan tidak ada aktiviti menjual lot selepas ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengumuman khas berkenaan.

Yakub berkata, perkampungan yang digazetkan itu adalah amanah kerajaan kepada semua yang terlibat untuk diwariskan kepada generasi seterusnya.

Sementara itu, Yakub berkata, perancangan seterusnya adalah membabitkan keperluan prasarana seperti klinik desa.

Katanya, beliau akan mengambil tindakan sepatutnya termasuk perbincangan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) sekiranya ada kebenaran ataupun kelulusan untuk kemudahan penduduk di kedua-dua kampung ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|