Kota Kinabalu: Seramai 527 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina yang ditahan di empat Depot Imigresen di negeri ini, dihantar pulang, semalam.
Semua tahanan terbabit yang dihantar dalam Program Penghantaran Pulang PATI Siri 12/2022 itu adalah hasil program pemindahan ketiga sepanjang September ini.
Pengarah Jabatan Imigresen (JIM) Sabah, SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, penghantaran pulang itu dibuat melalui Pelabuhan Sandakan menggunakan Vessel MV Antonia 1 ke Filipina.
Katanya, sepanjang program berkenaan, proses tapisan kesihatan yang ketat dijalankan termasuk ujian saringan dan proses pengasingan bagi memastikan tidak wujud penularan jangkitan Covid-19.
“Program penghantaran pulang PATI ini dilaksanakan seiring dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Semua PATI yang ditahan melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan – Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, semua hukuman dijalankan mengikut proses perundangan negara untuk mengusir semua PATI keluar dari Sabah.
Sehubungan itu, Sitti Saleha berkata, semua warga negara asing diingatkan supaya memiliki dokumen perjalanan yang sah dan mendapat kebenaran masuk sebelum berada di Sabah.
Katanya, semua agensi penguatkuasaan di negeri ini akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan ini.
Sementara itu, Sitti Saleha berkata, program pemindahan pada kali ini membabitkan seramai 54 orang pegawai merangkumi lima pegawai kanan, tujuh penyelia dan 43 pegawai Imigresen serta seorang pembantu perubatan.
Katanya, ia adalah sebahagian daripada aktiviti berterusan proses pengusiran oleh JIM Sabah bagi tahanan yang ditempatkan di Depot Imigresen seluruh Negeri Sabah.
“JIM Sabah akan terus komited melakukan tindakan penguatkuasaan dan penghantaran pulang PATI selepas proses perundangan dan mendapat pengesahan daripada kedutaan masing-masing,” tegasnya.
-Deasoka