KPDNHEP tumpaskan aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi

KPDNHEP tumpaskan aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi

Penampang: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah menumpaskan kegiatan penyelewengan barang kawalan diesel dalam satu operasi di sebuah stor tidak bernombor di Kampung Kibabaig, di sini, semalam.

Serbuan jam 5.30 petang itu, pasukan serbuan merampas 15,683 liter diesel bersubsidi dan menahan tiga lelaki warga tempatan dipercayai pekerja di lokasi serbuan.

Lori yang disyaki digunakan dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan diesel disita untuk siasatan lanjut.

Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata, risikan dijalankan selama lima hari sebelum serbuan dijalankan.

Katanya, berdasarkan keterangan awal, pekerja di lokasi berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan.

“Pasukan serbuan menemui dan menyita sebanyak 15,683 liter diesel dalam skid tank, sebuah lori, sebuah skid tank, tangki minyak kenderaan pelbagai kapasiti dan satu unit electronic pump yang disyaki digunakan untuk menyeleweng.

“Tiga lelaki warga tempatan yang dipercayai pekerja di lokasi serbuan ditahan dan diambil keterangan bagi tujuan membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Georgie berkata, nilai keseluruhan sitaan berjumlah RM114,018.45.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan siasatan juga akan dilakukan di bawah Seksyen 20(1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran.

“KPDNHEP Sabah akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan barang
kawalan di Sabah supaya tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang
aktiviti yang melanggar perundangan itu boleh menyalurkan aduan
kepada pihak kementerian melalui aplikasi Whatsapp ditalian 019-279 4317 atau 019-848 8000.

“Ia juga boleh disalurkan menerusi portal (e-aduan.kpdnhep.gov.my), emel (e-aduan@kpdnhep.gov.my) atau menghubungi talian bebas tol 1-800-886-800,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|