Sabah optimis kerjasama pelbagai bidang dengan Brunei

Sabah optimis kerjasama pelbagai bidang dengan Brunei

Bandar Seri Begawan: Sabah mengharapkan hubungan dua hala dengan Brunei Darussalam akan terus dipertingkatkan setelah sempadan kedua-dua negara dibuka semula.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beliau optimis kerjasama dalam pelbagai bidang terutamanya perdagangan akan berkembang.

Hajiji mengetuai rombongan me Sabah menghadap Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan.

Menurutnya, ia selepas melihat perdagangan Sabah dengan Brunei meningkat lebih empat kali ganda, daripada RM311.7 juta pada 2017 kepada RM1.48 bilion pada Ogos 2022.

Katanya, Sabah sentiasa mementingkan hubungan dengan Brunei, selain turut berkongsi pencapaian pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN).

“Sejak Kerajaan Negeri GRS-BN mengambil alih tampuk pentadbiran dua tahun lalu, Sabah telah mencatatkan RM5.449 bilion kutipan hasil negeri pada 2021, mencapai RM389 juta dalam pelaburan domestik dari Januari hingga Jun 2022 dan RM9.9 bilion dalam Pelaburan Langsung Asing (FDI) dari Januari hingga September tahun ini.

“Sabah juga mengalu-alukan pelawat dari Brunei, yang telah berkembang selepas pembukaan semula sempadan dengan penerbangan pertama Syarikat Penerbangan Diraja Brunei ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada 6 Mei tahun ini.

“Susulan pembukaan semula sempadan, rakyat Brunei turut melalui jalan darat untuk melawat Sabah mulai 1 Ogos tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan media selepas menghadap Sultan Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman, di sini, hari ini.

Tambah Hajiji, seramai 78,605 rakyat Brunei telah melawat Sabah pada 2019, namun jumlah itu menjunam kepada 5,494 pada 2020 berikutan penutupan sempadan.

Ini merupakan lawatan pertamanya ke negara Brunei Darussalam sejak dilantik sebagai Ketua Menteri dan beliau turut menyampaikan jemputan kepada Sultan Hassanal Bolkiah untuk lawatan timbal balas ke Sabah.

Turut serta mengiringi beliau, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Kadzim Yahya; Menteri Tugas- Tugas Khas, Datuk Arifin Arif dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|