Kes Ebit Lew: MRM jadi tumpuan perbicaraan hari ini

Kes Ebit Lew: MRM jadi tumpuan perbicaraan hari ini

Tenom: Mahkamah Majistret Tenom hari ini diberitahu mengenai latar belakang MRM (Multiracial Reverted Muslims) yang dikaitkan dalam perbicaraan kes gangguan seksual Ebit Lew.

Perkara itu diterangkan saksi ketiga pendakwaan, Firdaus Wong, 39, yang juga seorang pendakwah.

Firdaus Wong atau nama sebenarnya Firdaus Wong Hai Hung memberitahu mahkamah bahawa MRM adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai visi menyampaikan mesej Islam yang sebenar.

Ketika diminta menjelaskan lebih lanjut mengenai MRM oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Nor Azizah Mohamad, Firdaus memberitahu mahkamah bahawa badan itu juga mengendalikan kes berkaitan wanita yang dizalimi menerusi sayap wanita MRM.

“Kes-kes gangguan seksual yang dikendalikan oleh sayap wanita MRM adalah seperti gangguan seksual secara verbal, gangguan menerusi aplikasi telefon sama ada Telegram, WhatsApp, Facebook.

“Selain daripada itu, cabul oleh majikan, rakan sekerja, ahli keluarga, orang asing yang tidak dikenali atau daripada tokoh yang berpengaruh dalam masyarakat,” katanya.

Firdaus kemudian diminta memberitahu kepada mahkamah berhubung kes gangguan seksual yang dibantu dan siapa yang telah dibantu oleh MRM.

“Antara wanita yang dibantu oleh MRM adalah pengadu (identiti tidak boleh didedahkan atas arahan mahkamah) yang telah mengadu kepada sahabat saya Akhi Fairuz (Mohd Fairuz) bahawa telah menerima mesej-mesej serta gambar-gambar lucah dari Ebit Lew,” katanya.

Mahkamah menangguhkan perbicaraan pada jam 4.30 petang tadi dan disambung semula pada jam 9.30 pagi esok dengan meneruskan keterangan daripada Firdaus sebagai saksi ketiga dalam kes itu.

Perbicaraan itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah, Muhammad Ilmami Ahmad, Zahida, Adibah Saiful Bahri dan Nur Masrin Amalia manakala Ebit pula diwakili barisan peguamnya yang terdiri daripada Ram, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut, Kimberly Ye Wanchuin dan Chen Wen Jye manakala Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.

Ebit berhadapan dengan 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|