Ranau pengeluar sayur-sayuran tempatan utama di Sabah

Ranau pengeluar sayur-sayuran tempatan utama di Sabah

Kundasang: Daerah Ranau menjadi pengeluar utama sayur-sayuran di Sabah dengan jumlah pengeluaran 22,546.8 tan bagi keluasan berhasil 2,010.8 hektar dan keluasan bertanam 2,011.1 hektar.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata, beliau amat berbangga dengan pengusaha yang cekal dan terus bergiat aktif dalam pembangunan sayuran tanah tinggi di kawasan ini.

Dr Joachim bersama peserta kursus dan tetamu pada Kursus Desiminasi Teknologi Tanaman Sayuran Tanah Tinggi di Pentas Terbuka Kundasang.

Bagaimanapun, katanya, pengeluaran sayur-sayuran tempatan di negeri ini masih belum mencukupi.

“Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia, setakat tahun 2021, tahap kecukupan (SSL) sayuran negeri hanya mencapai 86 peratus.

“Ini bermakna masih terdapat ruang untuk peningkatan pengeluaran,” katanya ketika merasmikan Kursus Desiminasi Teknologi Tanaman Sayuran Tanah Tinggi di Pentas Terbuka Kundasang, hari ini.

Turut hadir ialah Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri, Yubidi Gumpoyo; Ketua Polis Daerah Ranau, DSP Simiun Lomudin; dan Pemimpin Pembanguan Masyarakat DUN Kundasang, Dounis Sani.

Joachim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian negeri berkata, pembangunan tanaman sayur-sayuran termasuk sayuran tanah tinggi menjadi salah satu fokus utama kerajaan dalam membangun dan meningkatkan pengeluaran tanaman makanan di Sabah.

Jelas beliau, berdasarkan data perangkaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian Sabah, setakat tahun 2021, pengeluaran sayuran-sayuran di Sabah berjumlah 41,409.1 tan dengan keluasan berhasil 4,004.8 hektar dan keluasan bertanam 4,110.8.

Justeru, selaras usaha untuk meningkatkan pengeluaran, beliau mahu agar hasil yang dikeluarkan dipastikan selamat dan berkualiti.

“Pada 17 Julai lalu, kita dikejutkan dengan berita bahawa terdapat 40 sampel sayur yang diambil di Kundasang oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) didapati mengandungi kadar racun melebihi tahap maksimum.

“Sampel sayur yang diambil antaranya adalah cili, tomato, selada dan saderi. Pengarah Pertanian pun ada menyatakan tadi bahawa mengikut rekod Jabatan, untuk sayuran tanah tinggi di Kundasang, secara keseluruhan sampel yang dikesan melebihi Maximum Residue Limit (MRL) yang ditetapkan dalam Jadual 16, Akta Makanan 1983 pada tahun 2021 adalah 20 peratus dan meningkat kepada 40 peratus setakat Jun 2022.

“Situasi seperti ini tidak boleh dibiarkan dan perlu kita tangani bersama-sama. Saya dimaklumkan dalam kursus pada hari ini, topik-topik yang disampaikan adalah sangat berkaitan kepada bagaimana menangani situasi ini melalui Amalan Pertanian Baik (APB), khususnya dalam Pengurusan Perosak dan Penyakit Sayur-sayuran Tanah Tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang itu berkata, beliau berharap para peserta kursus dapat menggunakan pengetahuan yang diperolehi dan seterusnya mengamalkan pengurusan tanaman sayur-sayuran tanah tinggi mengikut Amalan Pertanian Baik (APB) serta mendapat Pensijilan myGAP atau myOrganic.

Katanya, setakat Julai lalu, hanya 10 ladang sayuran tanah tinggi telah mendapat pensijilan myGAP dan satu ladang mendapat pensijilan myOrganic.

“Jumlah ini adalah terlalu rendah berbanding dengan jumlah ladang sayuran tanah tinggi yang terdapat di Kundasang.

“Oleh yang demikian, saya menyeru agar lebih ramai pengusaha di Kundasang ini bekerjasama dengan Jabatan Pertanian Sabah untuk mendapatkan pengiktirafan pensijilan myGAP atau myOrganic,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|