Ubah dasar berkaitan pertanian – Yap Yun Fook

Ubah dasar berkaitan pertanian – Yap Yun Fook

Putatan: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan digesa supaya mengubah dasar sedia ada berkaitan pertanian untuk disesuaikan dengan situasi semasa, khususnya dengan peningkatan harga bahan makanan ketika ini.

Usahawan pertanian tersohor Asia, Prof Adjung Datuk Yap Yun Fook, berkata banyak dasar yang dilaksanakan ketika ini tidak membantu dalam usaha membangunkan sektor pengeluaran makanan itu.

Katanya, jabatan atau agensi di bawah kementerian itu perlu memahami bahawa semua sektor pengeluaran makanan ketika ini berdepan dengan masalah yang berpunca daripada situasi di peringkat global.

Jelasnya, masalah utama khususnya yang berkaitan dengan pengeluaran ayam dan telur selain daging dan susu berpunca daripada kos makanan ternakan seperti jagung dan kacang soya yang tinggi di pasaran antarabangsa.

“Kenapa tidak fokus untuk keluarkan makanan ternakan, ini boleh membantu menurunkan kos membeli makanan import ternakan.

“Kementerian perlu kaji dasar kerajaan terhadap pertanian, kita boleh tanam jagung, kacang soya, selain padi untuk menghasilkan makanan bagi keperluan tempatan termasuk untuk ternakan.

“Petani kita juga mendapat manfaatnya jika kerajaan melaksanakan dasar yang menyokong menanam bijirin berbanding berbelanja besar mengimportnya hanya untuk menguntungkan negara luar, malah ia juga melemahkan kedudukan mata wang kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di kilang pengeluaran susu segar Eco-Yap di Yun Fook Resources Sdn Bhd, dekat sini, hari ini.

Yun Fook berkata, bagi sektor penanaman padi, kerajaan perlu melaksanakan dasar baharu dengan mewujudkan syarikat utama yang membantu menjaga pesawah dengan menyediakan jentera dan mesin serba lengkap.

“Sekarang tiada sistem sedangkan tanah banyak tapi semua sawah sudah jadi hutan, kita sanggup tanah dibiarkan. Jadi ini kita fokuskan dulu bagi menangani krisis makanan,” katanya.

Beliau yang turut mengusahakan tanaman padi secara usahasama dan perladangan kontrak di Terusan Sapi, Beluran, berkata pengeluaran padi dan beras di negeri ini mampu mencapai tahap sara diri jika penanaman dapat dilakukan tiga kali setahun dengan sokongan subsidi yang disediakan kerajaan.

Ketika ini lebih 70 peratus keperluan beras di Sabah diimport dari Vietnam dan Thailand berikutan ketidakupayaan industri padi tempatan mengeluarkan beras mencukupi.

Sementara itu, Yun Fook yang juga Pengerusi Persatuan Penternakan Tenusu Sabah, turut membangkitkan isu subsidi bahan api RM1.60 seliter yang ketika ini hanya dinikmati golongan nelayan.

Katanya, usahawan sektor tani tidak menikmati subsidi bahan api itu sedangkan ia berada di bawah sektor sama pengeluaran makanan.

“Kita terpaksa membeli minyak kategori industri yang harganya lebih RM5 seliter. Minyak di stesen yang berharga RM2.15 pun kita tidak boleh beli.

“Sayapun tidak faham kenapa ini berlaku sedangkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan mengawal semua sektor perikanan, haiwan dan pertanian tetapi hanya perikanan saja dapat subsidi minyak sedangkan ikan di laut bukan dipelihara.

“Kita yang pelihara lembu, ternak ayam dan tanam padi tidak diberi subsidi minyak. Bayangkan jentera memerlukan minyak yang banyak untuk beroperasi, tentu kosnya sangat tinggi dengan menggunakan bahan api industri,” katanya.

Beliau menekankan agar Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee selaku orang Sabah untuk mengambil langkah proaktif membantu sektor pertanian negeri ini.

Jelasnya, semua masalah yang berlaku dalam sektor pengeluaran makanan berpunca daripada polisi dibuat oleh agensi kerajaan.

“Jadi menteri (Ronald), harus faham bagaimana mahu tolong industri. Ini semua berkaitan dengan pengurusan. Kalau kita faham, bawa ke Kabinet dan Parlimen selesai. Agensi kementerian semua ikut polisi tetapi sudah lama tidak berubah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|