Harapan Rakyat ramai peminat – Rina Jainal

Harapan Rakyat ramai peminat – Rina Jainal

Tawau: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Rina Jainal mendakwa ramai yang mahu mengenali Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) yang baru disertainya pada bulan lalu.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Harapan Rakyat berkata, ia terbukti menerusi beberapa program dan undangan yang diterimanya bahawa ramai yang ingin mengenali parti itu.

Aktiviti bergotong royong menyembelih lembu sempena Program Korban Perdana Kukusan.

“Sehingga kini kami masih lagi menerima beberapa permintaan daripada luar daerah Tawau untuk datang ke tempat mereka sekali gus cuba membantu masalah mereka.

“Ini membuktikan menerusi gerak kerja yang kami lakukan, ramai pihak yang dulunya menganggap parti ini parti kecil, kini mula melihat potensi besar yang ada dalam membela nasib rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Program Korban Perdana Kukusan 2022 di hadapan Pejabat ADUN Kukusan, di sini, hari ini.

Beliau menegaskan bahawa ia bukan sebagai gimik politik semata-mata.

“Sebaliknya tindakan membantu orang yang memerlukan bukanlah satu perkara yang asing dilakukan Presiden parti, Tan Sri Liew.

“Justeru, apa yang kami lakukan dalam tempoh hampir dua bulan ini adalah kesinambungan gerak kerja untuk rakyat yang dilakukan oleh beliau.

“Cuma ia lebih meluas atas tanggungjawab sebagai wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan,” katanya.

Sementara itu, menyentuh program yang dihadirinya, sebanyak 10 ekor lembu dikorbankan sempena ibadat korban tahun ini dan diserahkan kepada tujuh masjid serta surau sekitar Kukusan serta empat lagi agensi kerajaan.

“Semua daging korban itu diagihkan kepada golongan asnaf di masjid atau surau masing-masing. Begitu juga dengan Persatuan Pemilik/Pemandu Teksi Rumpun Melayu Tawau (PERSARUM) yang mana daging korban diagihkan dalam kalangan ahli persatuan.

“Kami turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) yang melakukan pemantauan dan terlibat sejak awal perbincangan bagi memastikan proses korban ini mengikut syariat yang ditetapkan dalam Islam,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|