Panduan melihat burung sempena Pesta Burung Borneo 2022

Panduan melihat burung sempena Pesta Burung Borneo 2022

Sandakan: Tourism Malaysia Sabah bekerjasama dengan Kelab Burung Borneo Sandakan bagi mewujudkan panduan aktiviti melihat burung yang terbaharu di negeri ini.

Kerjasama itu bersempena Pesta Burung Borneo 2022 yang akan berlangsung di Pusat Penemuan Hutan Hujan (RDC) Sepilok, di sini, pada Oktober depan.

Ednie memotong riben sebagai simbolik pelancaran panduan aktivit melihat burung sempena Pesta Burung Borneo 2022. Gambar ihsan Tourism Malaysia Sabah.

Pengarah Tourism Malaysia Sabah, Ednie Rahma Ab Rahim, berkata panduan aktiviti melihat burung itu turut mengetengahkan semua lokasi burung yang popular di sekitar Sabah.

Katanya, ia termasuk Tapak Warisan Dunia Taman Kinabalu, lembangan banjir Kinabatangan, Lembah Danum, Tabin dan Sepilok.

Pelbagai spesies burung boleh ditemui di Borneo. Gambar ihsan Tourism Malaysia Sabah.

Jelasnya, panduan itu juga akan menyediakan maklumat mengenai setiap tapak, burung yang boleh dilihat di lokasi terbabit, laluan, tempat penginapan dan cara untuk ke lokasi.

“Tidak dinafikan bahawa Sabah adalah salah satu destinasi burung yang paling popular di malaysia.

“Selama ini, Lembaga Pelancongan dan masyarakat tempatan telah membangunkan infrastruktur yang sangat baik bagi memenuhi keperluan pencinta alam sekitar, pencari burung dan jurugambar burung,” katanya dalam satu kenyataan,v di sini, hari ini.

Beliau berkata, kemuncak pesta berkenaan ialah aktiviti melihat 66 spesies burung endemik yang ditemui di negeri ini.

Katanya, spesies yang hanya terdapat di Borneo, seperti Bornean Bristlehead, Blue-headed Pitta, Bornean Ground-cuckoo, Whitehead’s Trogon, Whitehead’s Spiderhunter dan Crimson Keaded Wood Oatridge.

Jelasnya, perkara berkenaan tepat pada masanya kerana berguna untuk peminat burung yang mengambil bahagian dalam pesta itu selain dapat menghasilkan pendapatan pelancongan yang tinggi serta merancakkan lagi ekonomi Sabah.

“Dengan panduan aktiviti melihat burung yang baharu dan bertenaga ini, pencinta burung dan pencinta alam boleh merancang dengan mudah kawasan mana yang mereka ingin lawati.

“Inisiatif berkenaan dijayakan oleh ahli-ahli Kelab Burung Borneo Sandakan dan Tourism Malaysia Sabah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|