U-Science UMS anjur aktiviti STEM@STEMLab Makerspace untuk murid tadika

U-Science UMS anjur aktiviti STEM@STEMLab Makerspace untuk murid tadika

Kota Kinabalu: U-Science Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan beberapa siri Aktiviti STEM@STEMLab Makerspace yang menyasarkan kanak-kanak tadika berumur 5 hingga 6 tahun sempena Minggu Sains Negara Keluarga Malaysia 2022 dan Karnival Sains Sabah.

Program yang berlangsung selama sebulan itu mendapat sambutan memberangsangkan daripada sekolah-sekolah tadika sekitar ibu negeri.

Murid tadika APC Putatan melakukan aktiviti Colorful Top.

Penyelia program, Erda Syawati Dakim berkata, tadika yang menyertai program itu terdiri daripada Pusat Minda Lestari (PML) UMS, Tadika Al-Baghdadi Playtime Centre (APC) Putatan, Tadika Al Hadanah Al Islamiyah dan Al-Baghdadi Playtime Centre (APC) Kingfisher 2 (Tadika Kasih Fitrah).

“Buat masa ini, pihak U-Science tidak mengenakan sebarang yuran penyertaan kepada tadika-tadika yang terlibat sepanjang program berlangsung.

Murid Tadika Al Hadanah Al Islamiyah melakukan aktiviti Straw Rocket.

“Program ini bertujuan mendedahkan dan meningkatkan minat pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pendekatan yang menyeronokkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Erda lagi, program itu juga bertujuan untuk menggalakkan pengalaman hands-on serta memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasi pengetahuan dalam bilik darjah dan dunia sebenar.

Tadika Kasih Fitra melakukan aktiviti Raising Jalur Gemilang.

“Di samping itu, program ini juga dapat menyampaikan pengetahuan kepada murid bagaimana aplikasi STEM digunakan dalam kehidupan seharian kita,” katanya.

Sementara itu, Evelynda Christy Mojutan yang juga penyelia program itu, berkata impak daripada program itu dapat mencetus minat pelajar dalam pembelajaran STEM serta membina ciri-ciri pelajar yang kreatif, inovatif dan kolaboratif.

“Tambahan pula, program ini dapat menyediakan suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan meluaskan pandangan murid terhadap aplikasi sains dalam kehidupan.

“Aktiviti-aktiviti yang disediakan juga menggunakan barang-barang yang terpakai dan sangat bersesuaian dengan umur kanak-kanak tadika,” katanya.

Jelasnya lagi, antara aktiviti STEM yang disediakan seperti Miracle Butterflies, Colorful Top, Straw Rocket dan Balloon Hovercraft.

“Bersempena dengan sambutan Bulan Kebangsaan, aktiviti STEM iaitu Raising Jalur Gemilang juga turut diadakan bagi memeriahkan sambutan,” katanya.

Semua pihak yang ingin membuat lawatan ke U-Science UMS amatlah dialu-alukan dan sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi pihak U-Science di e-mel uscience@ums.edu.my.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|