Ranau: Pemain industri tanaman kopi diminta terus meningkatkan pengeluaran tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kopi yang diimport dari luar negara.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kebergantunagn kepada kopi import adalah membimbangkan.
“Seperti yang terjadi baru-baru ini, apabila berlaku penularan Covid-19 dan masalah perubahan cuaca, harga kopi naik mendadak disebabkan pengeluaran kopi di negara pengeksport terjejas.
“Hasil kopi juga tidak dapat dieksport. Oleh itu, kita harus meningkatkan pengeluaran tempatan,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan bantuan Projek Pembangunan Industri Kopi Ranau di Dewan Mini Kampung Terolobou, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Masidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan berkata, setakat tahun lalu pengeluaran kopi di Sabah adalah sebanyak 884 tan dengan keluasan bertanam 1,303.5 hektar dan keluasan berhasil 884 hektar.
“Ranau merupakan pengeluar kedua tertinggi di Sabah selepas daerah Tenom, dengan jumlah pengeluaran 183 tan bagi keluasan bertanam 293 hektar dan keluasan berhasil 183 hektar.
“Penanaman kopi sedia ada ini melibatkan seramai 250 pengusaha di kampung Toboh Lama, Tudan Lama, Nagaya, Lipasu, Sosondoton, Torolobou, Tinatasan, Mohimboyon, Keperingan, Waang, Rugading, dan Mibang.
“Saya berharap, penanaman sedia ada ini diteruskan dan dipergiatkan sesuai dengan potensi dan peluang pasaran yang semakin berkembang,” katanya.
Beliau berkata, pengusaha juga perlu mengamalkan Amalan Pertanian Baik bagi memastikan penanaman kopi yang dilaksanakan berproduktiviti tinggi, lestari dan dapat mengeluarkan hasil yang selamat dan berkualiti.
“Saya dimaklumkan bahawa pengusaha kopi di bawah bimbingan Jabatan Pertanian Sabah telah diberi taklimat tentang Amalan Pertanian Baik (APB).
“Ladang yang mengamalkan APB akan diberi pengiktirafan Pensijilan myGAP. Saya dimaklumkan juga setakat ini ladang kopi di Ranau sedang dalam bimbingan dan belum ada yang mendapat pensijilan.
“Oleh itu, saya menyeru agar pengusaha kopi di daerah Ranau bekerjasama dengan pihak Jabatan Pertanian Sabah agar semua ladang kopi di Ranau mendapat Pensijilan myGAP,” katanya.
-Deasoka