500 mahasiswa bakal hadiri Konvensyen Kepimpinan Mahasiswa Islam Sabah

500 mahasiswa bakal hadiri Konvensyen Kepimpinan Mahasiswa Islam Sabah

Kota Kinabalu: Dianggarkan 500 mahasiswa bakal menghadiri Konvensyen Kepimpinan Mahasiswa Islam Sabah yang akan diadakan pada di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Sabtu ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Dr Aliakbar Gulasan berkata, matlamat program itu adalah untuk menghimpunkan pemimpin mahasiswa di seluruh Sabah supaya mereka boleh membina ukhuwah dan jaringan maklumat.

“Dalam program ini bakal membincang dan membahaskan isu-isu semasa khususnya berkaitan masa depan negeri dan kualiti kepimpinan anak muda untuk membina Sabah yang lebih gemilang.

“Mahasiswa merupakan kelompok masyarakat yang berpendidikan. Inilah masanya mereka boleh bertukar fikiran dan pandangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga penyelaras konvensyen dan pengerusi penganjur turut berkata, kehadiran mahasiswa membuktikan kesedaran yang tinggi bagi membincang dan mencari resolusi terbaik untuk anak muda Sabah.

Sementara itu, Pengarah Program, Mohd Asisal Abbas berkata, 500 peserta itu adalah terdirianak muda bagi melahirkan mahasiswa yang berminda negarawan, berfikir global dan bertindak lokal.

“Kami berharap, konvensyen ini mampu membawa kepada perbincangan yang membugar idea segar untuk kebaikan tanah negeri Sabah ini. Anak mudalah tiangnya,” katanya.

Sebelum itu, program mega yang julung kali dianjurkan oleh Persatuan Pengkaji Budaya Intelek Sabah (IKSAS) di Sabah adalah dengan kerjasama beberapa badan bukan kerajaan (NGO).

Konvensyen Kepimpinan Mahasiswa merupakan ruang dan peluang kepada mahasiswa untuk berdialog bersama pimpinan Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|