Kerja pembinaan Jambatan Sungai Liau siap awal 2024

Kerja pembinaan Jambatan Sungai Liau siap awal 2024

Keningau: Kerja pembinaan Jambatan Sungai Liau sepanjang 30 meter telah dimulakan dan dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2024.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, kerajaan Persekutuan telah meluluskan pembinaan jambatan kekal itu sebagai langkah menyelesaikan isu jalan Kota Kinabalu-Keningau-Tenom sejauh 117.1 kilometer.

Arthur ketika melawat pembinaan Jambatan Sungai Liau di Keningau.

“Jalan itu terputus akibat kegagalan struktur pembentung yang berpunca daripada hujan lebat yang berterusan.

“Sehubungan itu, kerja-kerja awalan bagi jambatan kekal sepanjang 30 meter itu telah dimulakan dan pembinaan jambatan kekal tersebut dijangka akan siap sepenuhnya pada Februari 2024,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, berdasarkan kepada perancangan kerja pihak kontraktor, jentera akan mula masuk ke tapak pembinaan pada awal bulan depan.

“Kerja-kerja fizikal di tapak dijangka akan lebih rancak dalam usaha untuk memastikan projek pembinaan jambatan tersebut akan siap dalam tempoh yang telah ditetapkan.

“Sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya, saya bersama-sama agensi pelaksana, JKR Sabah memberikan komitmen untuk sentiasa memantau kemajuan kerja dari semasa ke semasa.

“Adalah menjadi harapan saya agar projek tersebut dapat disiapkan mengikut spesifikasi dan jangka masa yang telah ditetapkan agar isu dan masalah yang timbul sebelum ini dapat diatasi sepenuhnya,” katanya.

Tambah beliau lagi, pembinaan Jambatan Sungai Liau mencerminkan keprihatinan kerajaan Persekutuan dalam memastikan Keluarga Malaysia di Sabah dapat menikmati ketersambungan perhubungan darat yang selesa dan selamat.

“Sepanjang tempoh pembinaan, Jambatan Bailey sedia ada akan dikekalkan sebagai jalan alternatif bagi memastikan perhubungan darat antara daerah Keningau dan Tenom tidak terputus.

“Saya turut berharap dan memohon kerjasama pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati serta mematuhi arahan di tapak pembinaan.

“Kesabaran pengguna jalan raya di sepanjang tempoh pembinaan dalam kita menyediakan kemudahan infrastruktur yang baru amat dihargai,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|