Pesara wanita rugi RM352,050 diperdaya Macau Scam

Pesara wanita rugi RM352,050 diperdaya Macau Scam

Papar: Seorang pesara wanita kerugian sebanyak RM352,050 selepas diperdaya sindiket Macau Scam, yang menyamar sebagai ‘pegawai bank’.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, mangsa seorang pesara kerajaan berusia 62 tahun, menerima mesej pesanan ringkas (SMS), kira-kira jam 9.07 pagi pada 17 Ogos lalu yang mengatakan mangsa ada membuat pembelian dalam talian.

Deputi Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka

Katanya, mangsa kemudian menghubungi nombor telefon yang disertakan dalam pesanan SMS dan suspek yang menyamar kononnya sebagai pegawai bank meminta semua maklumat akaun bank mangsa.

“Mangsa kemudian telah kongsikan semua maklumat akaun banknya bersama nombor kod pengesahan transaksi (TAC).

“Pada 20 Ogos, mangsa menyedari wang dalam akaun bank berjumlah RM352,050 telah dipindahkan ke dalam akaun pihak ketiga oleh Scammer tanpa pengetahuan mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang menyedari tertipu kemudian membuat laporan polis, semalam.

“Siasatan sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Kesekaan kerana menipu,” katanya.

Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya elakkan daripada menjawab panggilan telefon dan melayan sebarang bentuk SMS dari pihak yang tidak dikenali yang menyamar dari mana-mana jabatan kerajaan atau organisasi.

“Sekiranya menerima panggilan berkenaan, sila hubungi balai polis berdekatan untuk pengesahan sebelum membuat apa-apa transaksi pindahan wang.

“Orang awam juga dinasihatkan untuk sentiasa peka dengan modus operandi terkini Scammer bagi mengelak kejadian serupa berulang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|