Tular kes gaduh di Tuaran, seorang lelaki ditahan

Tular kes gaduh di Tuaran, seorang lelaki ditahan

Tuaran: Seorang lelaki ditahan polis selepas terbabit dalam kes pergaduhan dan ugutan dalam kejadian di Borneo Eco House Food Centre, Kampung Raganan, di sini, 7 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, kejadian dilaporkan berlaku jam 7.30 malam itu apabila suspek pergi ke kedai berkenaan bersama anaknya untuk bertemu dengan salah seorang penyewa kedai.


Video pergaduhan yang tular di media sosial.

Bagaimanapun katanya, berlaku selisih faham dengan pemilik premis sehingga tercetus pergaduhan kecil dan ugutan apabila mangsa ditumbuk oleh suspek.

“Kira-kira sejam selepas itu, keadaan berjaya dikawal apabila mangsa dan suspek bersetuju untuk menyelesaikan masalah selisih faham sebelum laporan polis dibuat.

“Suspek bersetuju untuk membayar ganti rugi sebanyak RM5,000 kepada mangsa dan persetujuan itu dimeterai dalam satu perjanjian yang ditandatangani oleh kedua-dua pihak,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Hamizi berkata, kedua-dua pihak juga bersetuju bayaran itu akan dibuat dalam tempoh 24 jam melalui akaun bank yang diberikan oleh mangsa.

“Bagaimanapun, selepas tempoh masa ditetapkan, suspek gagal menunaikan janji dan mangsa terus membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

“Bertindak atas maklumat, suspek ditahan pada jam 12.10 tengah malam di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran.

“Suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

Mohd Hamizi berkata, hasil semakan awal, suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencing juga didapati negatif.

Sementara itu, kejadian berkenaan yang sempat dirakam dan tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp sejak semalam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|