Perbincangan GRS didakwa hanya libatkan pimpinan atasan

Perbincangan GRS didakwa hanya libatkan pimpinan atasan

Kota Kinabalu: Perbincangan berkaitan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) didakwa hanya melibatkan pemimpin atasan atau sebelah pihak sahaja.

Dakwaan itu dibuat Ketua Pemuda UMNO Sabah, Abdul Aziz Julkarnain yang memaklumkan beliau tidak pernah dipanggil ke mana-mana mesyuarat atau perbincangan mengenai gabungan itu.

Dakwanya lagi, perbincangan GRS lebih kepada pemimpin atasan atau sebelah pihak saja namun pimpinan sayap parti tidak pernah dibawa berbincang menyebabkan mereka sukar menjelaskan kepada pimpinan akar umbi.

“Macam saya sebagai Ketua Pemuda UMNO (Sabah), saya tidak pernah dipanggil mana-mana mesyuarat atau perbincangan tentang GRS. Jadi bagaimana saya mahu jelaskan kepada pergerakan Pemuda UMNO Sabah dan cawangan-cawangan.

“Begitu juga dengan Wanita, Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Srikandi yang tidak dipanggil, jadi bagaimana GRS ini boleh perkenalkan jenamanya,” katanya ketika dihubungi, pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung pengumuman Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor bahawa gabungan itu sudah didaftarkan secara rasmi pada minggu lalu.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan bahawa gabungan itu membawa kebaikan dan ia diwujudkan untuk menyelamatkan Sabah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.

“Saya sangat setuju dengan GRS, secara peribadi saya setuju dan dari awal kenyataan media saya katakan GRS adalah mandat rakyat dan ia harus dipertahankan.

“Kita lihat ada keperluan kerjasama di bawah GRS yang dianggotai Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) itu matlamat kita.

“Namun apabila GRS diperkukuhkan, saya ada tegur kepimpinan dalam GRS jika mahu perkukuh gabungan ini, kita harus libatkan semua pihak dari segi di peringkat tua, muda dan sayap-sayap,” katanya.

Sehubungan itu, Abdul Aziz menyeru supaya pimpinan atasan GRS perlu dilibatkan semua pimpinan peringkat parti dalam gabungan berkenaan.

“Apabila kita sudah serius untuk menjadikannya sebagai satu entiti politik yang berdaftar, kita harus secara profesional menyusun struktur organisasinya supaya kita jelas dengan peranan sayap dan jawatan itu seterusnya kita boleh turun ke bawah untuk melaksanakannya.

“Apa pun, kita secara menyeluruh, jangan libatkan ‘beliau-beliau’ di atas saja, di bawah ini yang mempunyai komposisi yang sangat besar jadi jangan dibiarkan,” katanya.

-deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|