Pemain industri pelancongan mahu SOP pembukaan sempadan diseragamkan

Pemain industri pelancongan mahu SOP pembukaan sempadan diseragamkan

Kota Kinabalu: Pemain industri pelancongan di Sabah meminta kerajaan negeri untuk menyeragamkan prosedur operasi standard (SOP) yang akan dilaksanakan mulai 1 April ini sejajar pembukaan semula sempadan negara.

Langkah itu dilihat perlu bagi memudahkan kemasukan pelancong antarabangsa ke negeri ini.

Perjumpaan pemain industri pelancongan Sabah dengan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri.

Mereka berpendapat jika SOP berbeza dengan apa yang ditetapkan kerajaan Pusat, ia boleh mengelirukan dan menyukarkan pelancong yang mahu ke Sabah.

Perkara itu disuarakan wakil pemain industri pada perjumpaan dengan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri mengenai persiapan pembukaan sempadan negara pada 1 April nanti, di sini, semalam.

Perjumpaan itu dipengerusikan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Joniston Bangkuai.

Antara wakil pemain industri pelancongan yang hadir ialah Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Datuk Tan Kok Liang; Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Sabah, Hafizan Wong; Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Sabah (SATTA), Datuk Winston Liaw serta Pengerusi Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) Cawangan Sabah, James Ong.

Yang turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Mohd Yusrie Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Noredah Othman dan wakil agensi berkaitan yang lain termasuk kastam dan imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Sebelum ini, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun yang juga jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah menyatakan SOP pembukaan sempadan untuk Sabah akan diselaraskan dengan keperluan di negeri ini.

Katanya, SOP untuk Sabah akan diumumkan selepas kerajaan Pusat mengumumkan SOP pembukaan sempadan untuk seluruh negara.

Selain isu SOP, wakil pemain industri turut membangkitkan masalah lain yang dijangka berlaku berikutan pembukaan sempadan negara seperti kesesakan di lapangan terbang, kaunter pemeriksaan imigresen yang tidak mencukupi, penetapan pusat kuarantin untuk pengembara yang didapati positif COVID-19 dan keperluan melakukan ujian saringan COVID-19.

Sementara itu, Joniston berkata perjumpaan bersama wakil pemain industri itu penting bagi mengumpul maklum balas daripada pihak berkepentingan untuk persiapan menjelang pembukaan sempadan bermula 1 April depan.

“Satu garis panduan yang praktikal diperlukan sebagai persediaan untuk pembukaan sempadan negara supaya kita dapat memberikan perkhidmatan yang baik kepada pelancong dan mengelak membebankan mereka dengan pelbagai halangan yang mungkin mereka hadapi apabila tiba di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, semua cadangan yang dikemukakan pada perjumpaan itu akan diserahkan kepada Jawatankuasa Pengurusan COVID-19 Sabah sebelum dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|