Malaysia tidak layan sebarang tuntutan berkaitan Sabah – PM

Malaysia tidak layan sebarang tuntutan berkaitan Sabah – PM

Kota Kinabalu: Perdana Menteri menegaskan kerajaan Malaysia tidak akan melayan sebarang tuntutan daripada mana-mana pihak berkaitan negeri Sabah.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan Malaysia menegaskan pendirian bahawa Sabah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa sebagai sebahagian daripada Persekutuan Malaysia sejak 16 September 1963.

“Kerajaan Malaysia memandang serius isu kedaulatan negara, termasuk kedaulatan dan keutuhan negeri Sabah dalam Malaysia.

“Tuntutan oleh pihak yang mengaku sebagai waris kepada Sultan Sulu terhadap kerajaan Malaysia melalui satu prosiding timbang tara (arbitration) antarabangsa adalah tidak sah dan melanggari undang undang.

“Ini adalah kerana pelantikan penimbang tara Dr Gonzalo Stampa telah dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Madrid pada 29 Jun 2021 yang mengakibatkan semua keputusan yang dikeluarkan oleh Dr Gonzalo Stampa adalah tidak sah, termasuk Final Award yang dikeluarkan pada 28 Februari 2022.

“Walaupun pelantikan Dr Stampa telah dibatalkan tetapi Dr Stampa tidak mengendahkan keputusan Mahkamah Tinggi Madrid dengan memindahkan tempat timbang tara ke Paris, Perancis dan telah meneruskan prosiding timbang tara tersebut sehinggalah beliau mengeluarkan Final Award tersebut,” tegasnya.

Perdana Menteri berkata, bagi memastikan kedaulatan dan kepentingan Malaysia terpelihara, kerajaan telah memfailkan permohonan untuk membatalkan Final Award berkenaan pada 3 Mac 2022 di Mahkamah di Paris, Perancis.

Katanya, ia bagi memastikan keputusan Final Award itu tidak boleh dikuatkuasakan oleh penuntut pada bila-bila masa dan di mana-mana negara dan supaya Malaysia tidak perlu membayar wang pampasan sebanyak AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) seperti yang dituntut.

“Dalam hal ini, kerajaan Malaysia tetap komited untuk menyelesaikan isu ini secara tuntas dan muktamad. Adalah ditekankan bahawa kerajaan Malaysia tidak akan berganjak walau seincipun dalam menjaga dan mempertahankan kedaulatan negara dan kedudukan negeri Sabah dalam Malaysia akan dipertahankan untuk selama lamanya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|