RM298 juta selesai gangguan elektrik disebabkan alam semulajadi, haiwan

RM298 juta selesai gangguan elektrik disebabkan alam semulajadi, haiwan

Kota Kinabalu: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) memperuntukkan RM298 juta untuk menyelesaikan masalah gangguan bekalan elektrik yang berpunca daripada faktor alam semulajadi termasuk pencerobohan haiwan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Yaakob Jaafar, berkata RM128 juta daripada jumlah itu adalah untuk mengganti konduktor elektrik tidak berpenebat di seluruh Sabah dan Labuan sehingga 2025.

Beliau berkata, sebanyak RM170 juta lagi diperuntukkan untuk pengurusan rentis, pemasangan peralatan pencegahan gangguan binatang dan peralatan pelindung kilat.

Katanya, inisiatif itu dilaksanakan dengan sokongan Pasukan Petugas Khas yang membabitkan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli serta Suruhanjaya Tenaga.

“Melalui pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini, SESB menyasarkan pengurangan antara 30 peratus hingga 50 peratus menjelang 2025 bagi gangguan yang melibatkan konduktor tidak bertebat ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Konduktor elektrik yang tidak berpenebat itu menyebabkan bekalan mudah terjejas apabila terkena dahan pokok, selain pencerobohan haiwan yang mengakibatkan renjatan dan litar pintas.

Dalam pada itu, Mohd Yaakob memberi jaminan SESB akan terus komited memastikan pelbagai usaha yang sudah dan akan dilaksanakan bagi menangani masalah gangguan bekalan elektrik di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Beliau berkata, menjelaskan Indeks Purata Tempoh Gangguan Bekalan Elektrik (SAIDI) bagi Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan pada tahun lalu adalah 332 minit bagi setiap pelanggan.

“Berdasarkan kepada rekod, 35 peratus daripada gangguan pada tahap voltan sederhana 11kV adalah disebabkan oleh dahan pokok menyentuh konduktor elektrik atau pokok menghempap talian, sebanyak 16 peratus lagi disebabkan pencerobohan masuk haiwan dan 11 peratus berpunca daripada cuaca buruk khususnya ketika ribut, hujan atau kilat,” katanya.

Katanya, penyambungan bekalan elektrik secara haram yang menyumbang 25 peratus daripada jumlah gangguan juga dikenal pasti sebagai punca utama kepada gangguan bekalan elektrik sistem voltan rendah dan boleh mengundang masalah litar pintas termasuk kes renjatan elektrik.

Beliau berkata setakat 2021, hampir 49 peratus rangkaian talian elektrik voltan sederhana 11kV ke pencawang pembahagian di seluruh Sabah masih menggunakan konduktor elektrik jenis yang tidak berpenebat.

“Oleh kerana keadaan fizikal konduktor yang terdedah (tidak berpenebat), ia sangat sensitif apabila bersentuhan dengan dahan pokok atau pokok yang tumbang di atas talian dan keadaan ini lebih teruk ketika cuaca buruk khususnya ribut, hujan, atau kilat.

“Di samping itu, terdapat juga kes gangguan bekalan berlaku apabila haiwan seperti tupai, tikus, monyet dan ular menceroboh masuk ke dalam zon voltan sederhana dan bersentuhan dengan konduktor atau besi pada tiang secara serentak, menyebabkan litar pintas,” katanya.

Sebagai penyelesaian jangka panjang, katanya SESB giat menaik taraf talian konduktor tidak berpenebat kepada jenis yang berpenebat namun memerlukan masa untuk dilaksanakan secara bersasar dan berperingkat.

Selain itu, katanya sebagai langkah penyelesaian jangka pendek, SESB juga menambah baik pengurusan rentis dengan memperkenalkan konsep penjagaan konsesi yang memberikan tumpuan kepada kawasan yang sering terkesan dengan gangguan bekalan elektrik seperti di kawasan Tuaran, Keningau, Kota Marudu dan Ranau.

“SESB juga sedang menilai konsep lain seperti penubuhan pasukan bertindak khas untuk menyelesaikan isu rentis di kawasan yang mempunyai cabaran yang unik dan tersendiri,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|