Kinarut: Penambahan dua Batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) di negeri ini akan memantapkan lagi pemantauan serta penugasan terutama sempadan di Sabah.
Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, perancangan untuk penambahan dua batalion PGA ini yang dijangka tahun ini apabila PGA di strukturkan semula oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Tahun ini akan ada penambahan dua lagi batalion di Sabah untuk memperkuatkan lagi kawasan sempadan darat yang berhampiran dengan Indonesia.
“Dua batalion ini dijangka dibuat antara Sipitang dan Kalabakan. Kita akan mendirikan pos-pos kawalan dalam memastikan keberkesanan tugas PGA menjaga sempadan negara khususnya di kawasan pedalaman,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyampaian Sijil Tolak Rasuah di Ibu Pejabat Briged Sabah, PGA Kinarut, di sini, hari ini.
Seramai 16 penerima sijil penghargaan selepas menolak pemberian rasuah di RCP Kalabakan membabitkan tangkapan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan tangkapan serta rampasan rokok seludup.
Mengulas lanjut, Abdul Rani berkata, persiapan penugasan pasukan sentiasa bersiap siaga setia masa berdasarkan pusingan tugas membabitkan latihan dan penugasan anggota di lapangan.
Katanya, ia bagi memastikan pemantauan di kawasan pos kawalan sentiasa ada untuk membanteras jenayah rentas sempadan dan penyeludupan.
“Selain penugas itu, PGA pada masa sama turut melaksanakan tugas operasi bagi Op Kontraban yang kini dilihat banyak membuahkan hasil dalam pencegahan jenayah termasuklah kejayaan rampasan mencecah RM8 juta di Merotai baru-baru ini,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai majlis berkenaan, beliau berkata, integriti dalam kalangan penguatkuasa terutama PDRM adalah penting dalam memastikan kesejahteraan serta kedaulatan negara terjamin.
“Penghargaan ini salah satu daripada inisiatif kita untuk memberi motivasi kepada pegawai dan anggota yang menolak rasuah.
“Saya berharap agar pegawai dan anggota tidak sesekali menerima rasuah dan juga menyeru supaya masyarakat di luar sana tidak memberi rasuah… kalau tak ada pemberi, tak ada penerima. Kedua-dua kena main peranan,” katanya.
-Deasoka