Bersatu, PBS, STAR, SAPP bersama bentuk GRS secara rasmi

Bersatu, PBS, STAR, SAPP bersama bentuk GRS secara rasmi

Kota Kinabalu: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) secara rasmi terdiri daripada empat parti iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, turut mengumumkan barisan kepimpinan tertinggi gabungan itu selepas didaftarkan secara rasminya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) pada minggu lalu.

Hajiji menunjukkan logo GRS selepas menghandiri mesyuarat pertama gabungan itu di Kota Kinabalu.

“Untuk makluman, senarai pimpinan parti atau GRS ini ialah Pengerusi saya sendiri, manakala Timbalan Pengerusi terdiri daripada Datuk Seri Dr Maximus Ongkili (Presiden PBS), Datuk Seri Dr Jeffry Kitingan (Presiden STAR) dan Datuk Yong Teck Lee (Presiden SAPP) manakala Setiausaha Agung, Datuk Seri Masidi Manjun.

“Kita akan lengkapkan struktur pimpinan GRS dalam masa terdekat dan kita akan umumkan dalam mesyuarat akan datang dan dengan pendaftaran GRS ini ia merupakan sejarah bagi jajaran politik baharu di Sabah kerana menggabungkan empat parti iaitu Bersatu, PBS, STAR dan SAPP,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama GRS di sini, hari ini.

Logo GRS.

Diminta mengulas berhubung ketiadaan UMNO dalam gabungan itu, beliau yang juga Ketua Menteri Sabah menjelaskan bahawa kerajaan yang ada kini adalah kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

“Sekarang ini dalam kerajaan kita bersama-sama dengan UMNO dan BN akan bekerjasama dengan GRS dalam mentadbir negeri Sabah seperti yang ada sekarang ini.

“Tetapi dalam gabungan rasmi kita sekarang ini hanya empat parti manakala UMNO BN ialah rakan kita dalam kerajaan GRS negeri,” katanya.

Katanya lagi, bagi parti yang ingin menyertai GRS akan dipertimbangkan termasuk parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).

“Satu jawatankuasa khas untuk membuat laporan kepada majlis tertinggi akan ditubuhkan di masa akan datang untuk permohonan parti lain yang ingin menyertai Sabah.

“Setakat ini, Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) dulu yang memohon awal tahun lalu jadi kita akan membuat pertimbang sebaik-baiknya nanti.

“InsyaAllah kita akan mempertimbangkan permohonan-permohonan parti yang ingin menyertai GRS,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berharap dengan adanya gabungan ini kestabilan politik Sabah adalah seperti yang diharapkan.

“Ini demi kepentingan perpaduan dan kerjasama antara parti-parti yang ada di Sabah sekarang,” katanya

Sebelum itu, beliau turut memaklumkan bahawa pelancaran GRS akan diadakan pada hujung Mei depan namun tarikh belum ditentukan lagi.

“InsyaAllah, kita akan guna lambang GRS (untuk pilihan raya umum),” katanya ketika ditanya berkaitan logo yang akan digunakan gabungan itu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|